Suasana pilu mengiringi majlis pengebumian jenazah empat sekeluarga yang terkorban dalam kemalangan di Kilometer 106 Jalan Kuantan-Segamat di Rompin lewat malam Jumaat.

Jenazah Mohd Zaki Mamat, 47 dan isterinya, Jamilah Hussen, 46, serta dua anak lelaki mereka Muhammad Zamil Izuddin, 17, dan Muhammad Zamil Syazwan, 14, disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Wakar Perkuburan As-Syakirin, Bachang di sini kira-kira 6.25 petang Sabtu.

Pengebumian itu dihadiri oleh kira-kira 300 penduduk dan jemaah.

Ibu Jamilah, Zabedah Dalip, 76 tahun berkata dia dimaklumkan kejadian menimpa anak kelima daripada enam beradik itu menerusi penggilan telefon oleh anak mangsa, Siti Nurjeha kira-kira 9 malam tadi.

Beliau berkata dia kemudian menerima panggilan kedua kira-kira 10.30 malam yang memaklumkan anak perempuannya dan suami serta dua anak lelaki mereka maut dalam kemalangan tersebut.

Zabedah berkata sebelum enam sekeluarga itu bertolak ke Kelantan, Jamilah datang ke rumahnya di Batu Tiga, Kampung Bachang, Pasir Puteh dan meninggalkan dua anak lelakinya di rumah tersebut untuk melakukan pemeriksaan kereta di sebuah pusat servis berhampiran kira-kira 8.30 pagi semalam.

Beliau berkata mangsa kemudian pulang ke rumah mereka di Merlimau selepas menunaikan solat Jumaat.

“Anak makcik memberitahu selepas sembahyang Jumaat dia akan ambil balik kedua-dua anak lelakinya,” kata Zabedah.

Katanya meskipun sedih dengan apa yang menimpa anaknya itu, beliau bersedia menjaga dua cucu perempuan yang cedera dalam kemalangan itu kerana anak bongsu mangsa masih bersekolah di Jasin dan mereka lebih rapat dengannya.

Sementara itu, rakan sekerja Jamilah, Haryani Samsi, 33, berkata dia mengenali mangsa sejak 11 tahun lepas ketika mula bekerja di sebuah kilang di Merlimau dan menyifatkan mangsa seorang yang baik hati dan peramah.

Jelas Haryani, kebiasaannya Jamilah akan memberitahu bila hendak pulang ke Kelantan dan meminta mendoakan keselamatan mereka sekeluarga.

Kemalangan
Namun, kali ini Jamilah tidak memberitahu dia pulang ke sana sebaliknya mengetahui kemalangan menimpa sahabat karibnya sekeluarga itu melalui Facebook awal subuh tadi.

Lebih memilukan, beliau berkata arwah ada merancang untuk membuat majlis bacaan Yaasin pada bulan depan tetapi nampaknya majlis tersebut akan dianjurkan untuk Jamilah sekeluarga.

Terdahulu, keempat empat jenazah berkenaan tiba dari Hospital Muadzam Shah, pahang, pada kira-kira jam 4.40 petang sebelum disembahyangkan di Masjid As-Syakirin selepas solat asar.

Keluarga berkenaan maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di jalan berkenaan, kira-kira 8.30 malam tadi.

Mohd Zaki dan isteri serta dua anak mereka meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi anak mereka, Siti Nurjeha, 18 dan Siti Nur Nabilah, 10, mengalami kecederaan parah.

Pemandu kereta dalam kemalangan terbabit Zulkifli Abdullah, 47 turut mengalami kecederaan.