KUALA LUMPUR: Jenazah kakanda Sultan Pahang, Tengku Puteri Seri Kemala Tengku Datuk Seri Aishah Almarhum Sultan Ahmad Shah, dibawa keluar dari Masjid Khalid Bin Al-Walid, Jalan Padang Tembak, di sini, pada 10.30 pagi ini selepas dimandikan dan disolatkan.
Jenazah Almarhumah dibawa ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang untuk diterbangkan ke Pangkalan TUDM Kuantan dan seterusnya dibawa ke Makam Diraja Pahang di Pekan untuk dimakamkan dengan penuh penghormatan dan istiadat.
Terdahulu, solat jenazah Almarhumah diimamkan oleh Ketua Pengarah Kerohanian Islam Markas Angkatan Tentera Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Mohd Rashidi Bujai.
Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat ke masjid berkenaan bagi memberi penghormatan terakhir kepada Almarhumah dan difahamkan, baginda turut berkenan membantu menyempurnakan jenazah Almarhumah sebelum disolatkan.
Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud dan kakanda Almarhumah, Tengku Puteri Seri Teja Datuk Seri Tengku Muhaini Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah turut berkenan hadir memberi penghormatan terakhir.
Turut hadir, bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Affendi Buang serta kerabat dan ahli keluarga.
Dilaporkan, Tengku Datuk Seri Aishah mangkat pada 9.15 malam tadi di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
-- BERNAMA