MALAYSIA

Jenazah mangsa dipercayai dibunuh suami selamat dikebumikan

Adie Sufian Zulkefli 12/12/2025 | 10:52 MYT
Lima anak mangsa dipercayai dibunuh suami pilu ketika hadir pengebumian arwah ibu mereka di Tanah Perkuburan Islam Kariah Suka Menanti, di sini pada Jumaat. - Foto Astro AWANI
ALOR SETAR: Jenazah wanita yang ditemukan meninggal dunia selepas empat hari dipercayai dibunuh suaminya di pangsapuri di Jalan Tuna, Seberang Jaya, Pulau Pinang selamat dikebumikan pada Jumaat.


Ringkasan AI
  • Jenazah wanita yang didapati meninggal dunia akibat dibunuh oleh suaminya di Seberang Jaya, Pulau Pinang, telah disemadikan dengan selamat di Tanah Perkuburan Islam Kariah Suka Menanti pada Jumaat.
  • Lebih 100 orang menghadiri majlis pengebumian Allahyarhamah, termasuk lima anaknya yang turut memberi penghormatan terakhir kepada ibu mereka yang telah meninggal.
  • Seorang lelaki berusia 28 tahun yang mendakwa kematian isterinya kepada polis telah ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan tersebut.


Jenazah Wan Khairul Safinah Ishak, 44, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Suka Menanti pada jam 5.30 petang.

Terdahulu jenazah Allahyarham tiba di Masjid Lutfi Suka Menanti, di sini pada jam 1.30 tengah hari selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) Pulau Pinang untuk disembahyangkan.

Lebih 100 orang hadir termasuk ahli keluarga, sanak saudara dan kenalan pada majlis pengebumian hari ini.

Selain itu, lima anak mangsa yang berusia 15 hingga 26 tahun turut berada di tanah perkuburan untuk memberi penghormatan terakhir kepada arwah ibu mereka.

Sebelum ini Astro AWANI melaporkan, seorang lelaki yang tampil di balai polis di Seberang Jaya, Pulau Pinang dan memaklumkan kematian isterinya selain membongkarkan pembunuhan kejam wanita itu yang dipercayai mati dibunuh sejak empat hari lalu.

Lebih tragis, mayat wanita yang dikelar di bahagian leher itu disimpan di bilik belakang rumah yang didiami pasangan itu.

Suspek berusia 28 tahun itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.






#wanita dibunuh suami #jenayah selamat dikebumikan #Wan Khairul Safinah Ishak #empat hari #kelar