Pengebumian 21 jenazah mangsa pemerdagangan manusia bermula pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tualang, Pokok Sena dekat sini.

Jenazah pendatang Rohingya dari Myanmar yang ditemui di Kem Tahanan Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Perlis itu dikebumikan dalam satu liang lahad, bermula jam 10 pagi tadi.

Upacara pengebumian diuruskan Jabatan Agama Islam Negeri Kedah (JAIK) dan semua kos ditanggung Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Baki 85 jenazah lagi akan dikebumikan secara berperingkat selepas proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selesai.

Hasil autopsi terhadap 106 mayat yang ditemui dalam kubur dan kem-kem pemerdagangan manusia di sempadan negara, mendapati 4 unsur utama penyebab kematian jenazah yang berjaya dikenalpasti.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan antaranya termasuk penyakit, kebuluran, tindakan penyeksaan dan bunuh.

"Mayat pertama yang ditemui merupakan rangka mayat dalam kurungan yang dibiarkan sehingga kering dipercayai mati akibat diseksa," kata Ahmad Zahid dalam sidang media di lobi parlimen selepas menjawab pertanyaan berhubung penemuan mayat serta kubur di sempadan negara dalam Dewan Negara.

Susulan itu, pihak berkuasa akan menjalankan pengkebumian semula sebahagian besar jenazah berkenaan selepas pihak autopsi berpuas hati dengan dapatan hasil kajian terhadap mayat-mayat berkenaan.

Dalam usaha memperketat keselamatan dan mengekang aktiviti pemerdagangan manusia, Ahmad Zahid berkata kerajaan Malaysia akan mencadangkan supaya perjanjian keselamatan sempadan dengan negara jiran terutamanya Thailand harus dikaji semula.

Ini termasuk perjanjian sempadan melalui Jawatankuasa Sempadan Am (GBC)Malaysia-Thailand.

Kerajaan juga akan melihat semula peranan unit pencegahan penyeludupan (UPP) terdiri Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam dan Imigresen agar diperluaskan peranan mereka supaya meliputi menjaga keselamatan di sempadan.

Ujar beliau, langkah itu perlu dilaksanakan dan kertas cadangan akan dikemukakan pihaknya dalam masa terdekat.