Jenazah Muhammad Adib dibedah siasat di HKL

Khairunnisa Kasnoon
Disember 17, 2018 17:38 MYT
Keadaan di perkarangan Institut Perubatan Forensik Negara di HKL. - Astro AWANI/Shahir Omar
Jenazah Muhammad Adib Mohd Kassim tiba di Institut Perubatan Forensik Negara di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin turut memaklumkan, kementerian akan terus memberi sokongan dan membantu keluarga Allahyarham bagi meringankan beban mereka.
"Selepas mendapat persetujuan keluarga, jenazah Allahyarham Adib akan dibawa ke Institut Forensik untuk dibedah siasat.
"Jenazah akan dikafankan dan disembahyangkan sebelum dibawa terus ke kampung untuk dikebumikan," katanya kepada pemberita di Institut Jantung Negara (IJN).
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu, pihak IJN telah melakukan yang terbaik namun Allah lebih menyayangi anggota bomba berusia 24 tahun itu.
Katanya, proses bedah siasat diketuai Ketua Jabatan Perubatan Forensik HKL, Dr Mohd Shah Mahmood.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub yang turut berada di IJN, mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan insiden ini sebagai titik perbalahan.
Beliau meminta semua rakyat Malaysia menerima pemergian Muhammad Adib dengan hati yang terbuka.
#bedah siasat #Dr Dzulkefly Ahmad #Hospital Kuala Lumpur #Muhammad Adib #Zuraida Kamaruddin