Skip to main content

Malaysia

Jenazah pegawai AKPS selamat dikebumikan

Ahli keluarga menyiram air di pusara Norhazwani selepas jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjong, Pengkalan Kubor, awal pagi tadi. --fotoBERNAMA
Ahli keluarga menyiram air di pusara Norhazwani selepas jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjong, Pengkalan Kubor, awal pagi tadi. --fotoBERNAMA

Advertisement

TUMPAT: Jenazah pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang ditemukan maut di kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Nilai, Negeri Sembilan pada Khamis lepas, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjong, Pengkalan Kubor, di sini awal pagi ini.

Pengebumian Allahyarham Norhazwani Ibrahim, 35, dihadiri ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan.

Terdahulu, van yang membawa jenazah tiba di kediaman keluarganya di Kampung Banjir, Telaga Lanas, di sini pada 1.10 pagi. Jenazah kemudian disolatkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Abang Allahyarham, Mohd Hazwan, 38, yang bermalam di rumah adiknya selepas selesai urusan di Bangi sebelum bertolak pulang ke Kelantan, tidak menyangka pertemuan mereka pada pagi kejadian menjadi kenangan terakhir.

“Pagi itu saya sempat jumpa adik sebelum balik ke Kelantan. Kami bersembang elok-elok, tiada apa-apa yang pelik berlaku. Sebab itu saya rasa sangat terkilan dan tidak sangka perkara ini berlaku,” katanya kepada pemberita di kediamannya di sini, awal pagi ini.

Katanya, ketika pertemuan terakhir itu, Norhazwani kelihatan seperti biasa walaupun sedikit keletihan selepas pulang bekerja syif malam.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak khususnya AKPS, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia yang banyak membantu menguruskan jenazah sejak berada di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban hingga selamat dikebumikan di kampung halaman.

Menurutnya, kehilangan Norhazwani turut memberi kesan kepada dua anaknya yang masing-masing berusia lima dan enam tahun serta kini dalam jagaan kakak Allahyarham di kampung.

Katanya, Norhazwani amat menyayangi anak-anaknya dan bekerja keras bagi memastikan kebajikan mereka terpelihara.

“Allahyarham meninggalkan anak-anaknya di kampung untuk dijaga kakaknya kerana bekerja syif pagi dan malam, yang menyukarkannya menguruskan mereka sendiri,” katanya, sambil menambah Norhazwani pulang ke Kelantan pada 12 Okt lepas, atas urusan di Mahkamah Syariah.

Pada Khamis lepas, seorang pegawai AKPS ditemukan maut dipercayai dibunuh suaminya dalam kejadian di Kuarters KLIA.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad mengesahkan polis menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 8.30 malam.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement