MACHANG: Jenazah pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang dipercayai dibunuh suaminya di Nilai, Negeri Sembilan, telah selesai menjalani bedah siasat pagi tadi sebelum dibawa pulang ke Tumpat untuk urusan pengebumian.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata jenazah mangsa dibawa melalui jalan darat dan dijangka tiba di Tumpat malam ini.
Beliau berkata suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian berkenaan baru keluar dari penjara selepas menjalani hukuman berkaitan kes dadah.
"Mangsa meninggalkan dua anak masing-masing berusia lima dan enam tahun yang kini dijaga oleh kakaknya," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Kementerian Dalam Negeri (KDN) Tahun 2026, di sini hari ini.
Pada Khamis lepas, seorang pegawai AKPS ditemukan maut dipercayai dibunuh suaminya dalam kejadian di Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad mengesahkan pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan pada 8.30 malam itu.
Sementara itu, Kampung Gosong di sini, menerima peruntukan RM500,000 bagi menaik taraf kemudahan awam dan kediaman penduduk menerusi program Kampung Angkat MADANI yang dilaksanakan KDN.
Saifuddin Nasution berkata antara kemudahan yang dinaik taraf ialah masjid, surau, tandas, tempat berwuduk dan kawasan perkuburan, selain kerja membaik pulih 14 rumah penduduk.
Beliau berkata kerja naik taraf rumah itu dilaksanakan dengan kerjasama Akademi Binaan Malaysia, selain melibatkan 10 individu di bawah seliaan Jabatan Penjara dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Dalam perkembangan berkaitan, Sekolah Kebangsaan Jambul Lawar menerima peruntukan RM100,000 bagi menaik taraf kemudahan sekolah termasuk siling, tandas, bekalan air, makmal komputer dan pondok pengawal.
Beliau berkata sekolah itu turut dilengkapi kemudahan pembelajaran digital menerusi pemasangan papan pintar bagi meningkatkan interaksi murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Selain itu, seramai 82 penduduk kampung dan 54 pelajar menerima bantuan zakat yang diagihkan menerusi wakalah zakat syarikat PBLT Sdn Bhd.
-- BERNAMA