MALAYSIA

Jenazah pendaki Mustaqqeem Mansor selamat dikebumikan di Pulau Pinang

Dewi Nur Harasha Alias 18/10/2025 | 01:10 MYT
Upacara pengebumian dihadiri ratusan individu, termasuk isteri Allahyarham, ahli keluarga, rakan-rakan serta penduduk setempat. - Astro AWANI
BUTTERWORTH: Jenazah pendaki Mustaqqeem Mansor, 34, yang meninggal dunia akibat hipotermia ketika mendaki di puncak Gunung Liang, Muallim, Perak, telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Nurussaadah Lahar Tabut, Penaga, Pulau Pinang, hari ini.


Ringkasan AI
  • Jenazah Mustaqqeem Mansor selamat dikebumikan di Penaga, Pulau Pinang, selepas meninggal dunia akibat hipotermia ketika mendaki Gunung Liang, Perak.
  • Allahyarham dilaporkan hilang semasa ekspedisi bersama rakan-rakan, sebelum ditemukan meninggal dunia di puncak gunung dengan kesan pendarahan ringan.
  • Bedah siasat sahkan punca kematian sebagai hipotermia, dan jenazah dibawa turun menggunakan helikopter oleh Pasukan Khas Udara Bomba.


Jenazah Allahyarham tiba di masjid berhampiran tanah perkuburan tersebut sekitar jam 2 pagi, selepas selesai menjalani proses bedah siasat di Hospital Slim River (HSR), Ipoh.

Jenazah kemudian ditempatkan di sebuah bilik khas bagi membolehkan orang ramai memberikan penghormatan terakhir sebelum disembahyangkan dan dikebumikan.

Suasana pilu menyelubungi upacara pengebumian yang dihadiri ratusan individu, termasuk isteri Allahyarham, Nur Faratin Mohd Othman, 31, ahli keluarga, rakan-rakan serta penduduk setempat.

Mustaqqeem, berasal dari Sungai Petani, Kedah, dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti pendakian bersama 10 rakan dari Bukit Fraser, Pahang pada 10 Oktober lalu.

Mereka dijadualkan turun melalui laluan Gunung Liang pada Isnin, namun Mustaqqeem ditemukan meninggal dunia di puncak gunung sekitar jam 3.30 petang Khamis, dengan kesan pendarahan ringan pada hidung, dipercayai akibat kesejukan melampau.

Jenazah beliau dibawa turun dari puncak oleh Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) menggunakan helikopter pada jam 2.45 petang Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim, Deputi Superintenden Suhaimi Muhamad, mengesahkan punca kematian sebagai hipotermia, berdasarkan hasil bedah siasat yang dijalankan di HSR.





#Mustaqqeem Mansor #kebumi #Tanah Perkuburan Masjid Jamek Nurussaadah Lahar Tabut #pendaki