ALOR SETAR: Jenazah pengasas Popia Jamal, Jamal Mohamed Kadir Mydin, 85, yang meninggal dunia akibat COVID-19 semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Al-Ihsan Seberang Perak, di sini kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Pengebumian jenazah disempurnakan kakitangan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sebaik selesai proses pengurusan di Unit Forensik.

Anak sulung Allahyarham, Sani Mohamad Jamal Mohamed, 55, berkata dia berharap ibunya Samsan Beevi Jamal Mohamed@Samsu, 68, yang masih dirawat di hospital susulan dijangkiti COVID-19 akan kembali sihat.

Katanya, Allahyarham bapanya dimasukkan ke HSB pada jam 1.30 pagi Sabtu selepas kesukaran bernafas.

“Bapa mempunyai masalah kesihatan selepas mengalami komplikasi buah pinggang dan darah tinggi dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan disahkan positif COVID-19.

“Tidak lama selepas itu ibu pula dihantar ke hospital sama dan turut disahkan positif COVID-19.

“Doktor memaklumkan ayah terpaksa ditidurkan dan perlu menggunakan alat pernafasan.

“Bagaimanapun pada jam 3.45 petang kami sekeluarga dimaklumkan oleh pihak hospital ayah telah menghembus nafas terakhir,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

BACA: Pengasas Popia Jamal meninggal dunia akibat COVID-19

Popia Jamal di asaskan Jamal Mohamed pada tahun 1936 dan pada ketika itu dijual di hadapan Masjid Zahir, Alor Setar. - Ihsan keluarga
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak serta 10 cucu.

Sani Mohamad berkata, Allahyarham bapanya sebelum ini tinggal bersama adik bongsunya Fakir Mohamad Jamal Mohamad, 45, di Jalan Seberang Perak selepas mengalami pelbagai penyakit.

Popia Jamal di asaskan Jamal Mohamed pada tahun 1936 dan pada ketika itu dijual di hadapan Masjid Zahir, Alor Setar.

Popia Jamal Mohamad adalah antara makanan kegemaran Sultan Kedah, Almarhum Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah pada majlis rasmi negeri di Istana Anak Bukit.

Selepas Allahyarham tidak berapa sihat warisan perniagaan Popia Jamal diwarisi dua anaknya dan dijual di Jalan Tun Abdul Razak dekat Taman Koperasi sehingga kini.