Jenazah seorang anak kapal pesawat malang MH17, Allahyarham Shaikh Mohd Noor Mahmood, 44, dilaporkan masih belum dapat diserahkan kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam ‎Malaysia (JAKIM) untuk urusan seterusnya.

Isterinya, Madiani Mahdi bagaimanapun berkata, jenazah suaminya difahamkan hanya akan diserah pada Rabu untuk urusan solat jenazah dan tahlil.

"Jenazah suami saya masih belum diserahkan kepada JAKIM, semuanya akan diserah esok (Rabu) untuk prosedur seterusnya, kemungkinan pukul 5 petang (waktu Amsterdam).

"Kami akan bertolak pulang ke Malaysia pada 18 September dan dijangka sampai ke KLIA pada pukul 6.15 pagi (waktu Malaysia) pada 19 September," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini pada Selasa.

Madiani yang juga merupakan pramugari syarikat penerbangan negara itu sebelum ini turut melahirkan rasa sedih kerana jenazah suaminya tidak ‎dapat dibawa pulang pada Hari Perkabungan Negara 22 Ogos lepas.

‎Sebelum ini, adik kepada Allahyarham Shaikh Mohd Noor, Siti Nurhidayah Mahmood berkata, penantian selama dua bulan kini berakhir apabila beliau dan anggota keluarga menerima berita baik berhubung penemuan jenazah abangnya.

Siti Nurhidayah turut mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana bertungkus-lumus membawa pulang kesemua jenazah mangsa MH17, termasuk Shaikh Mohd Noor yang juga abang sulungnya.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai sebelum ini mengumumkan empat lagi jenazah mangsa nahas MH17 telah dikenal pasti sebagai rakyat Malaysia dan dijangka akan dibawa pulang dalam masa terdekat.

Menurut Liow, dua daripadanya iaitu Muhammad Afzal Tambi, 17, dan Marsha Azmeena Tambi, 15, telah mendapat kelulusan pihak berkuasa Belanda untuk dibawa pulang, manakala dua lagi iaitu Shaikh Mohd Noor dan Liew masih dalam proses pengurusan jenazah.

Pesawat MH17 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai lepas apabila ditembak jatuh ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Selain 43 penumpang dan anak kapal warga Malaysia, pesawat itu juga membawa penumpang warga Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand.