Jenazah Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah diterbangkan ke Kuantan, Pahang kira kira jam 6.30 petang tadi.

Terdahulu kenderaan yang membawa jenazah Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah tiba kira-kira jam 5.45 petang di Pangkalan Udara Subang.

Jenazah kemudiannya diberi penghormatan terakhir dalam upacara Kawad Jenazah oleh Anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sehingga ke dalam Pesawat Airbus A400M milik TUDM.

Turut kelihatan, Kerabat Diraja Pahang dan pembesar negeri.

Imam Istana Negara Ustaz Nik Ridzuan Nik Mohamed kemudiannya membacakan doa sebelum pesawat berlepas.

Pesawat Airbus A400M yang membawa jenazah Almarhum Sultan Ahmad Shah turut dinaiki Raja Permaisuri Agong, Isteri Almarhum Sultanah Kalsom Abdullah dan anakanda Almarhum Sultan Ahmad Shah, Tengku Abdul Fahd Muā€™adzam Shah.

Turut mengiringi pesawat itu, pesawat Global BD 700 Milik TUDM yang dinaiki Kerabat Diraja Pahang dan pesawat jenis C-130 Hercules yang membawa Pembesar Pahang dan lain lain pegawai negeri Pahang.

Jenazah Almarhum Sultan Ahmad Shah dijangka tiba di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang kira kira jam 7.15 malam ini sebelum dibawa ke Istana Abu Bakar untuk disemayamkan bagi penghormatan terakhir Kerabat Diraja, Pembesar Negara dan rakyat negeri Pahang.

Jenazah Almarhum akan dikebumikan di Makam Diraja Pekan selepas solat zohor esok.