Jenazah tiga sekeluarga maut dalam nahas dekat Tanjung Malim selamat dikebumikan

Astro Awani
Oktober 11, 2015 01:44 MYT
Anak-anak Allahyarham Dzulkarnain Kamaruzzaman menabur bunga mawar di pusara bapa mereka setelah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya selepas solat Maghrib , pada Sabtu. - Gambar Bernama
Jenazah Dzulkarnain Kamaruzzaman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya di Ipoh, malam tadi.
Dzulkarnain, 64 serta isteri Jamnah Ibrahim, 56 dan anak mereka, Nor Juliana, 17 maut setelah kereta yang dinaiki mereka dihempap struktur papan tanda yang jatuh selepas dirempuh oleh sebuah lori yang terbabas di KM 339.6 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Tanjung Malim sekitar 6.35 pagi Sabtu.
Pengkebumian yang diadakan selepas solat Maghrib dihadiri kaum keluarga dan sahabat rapat keluarga.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt. R. Supramaniam dalam satu kenyataan semalam memaklumkan kemalangan itu berlaku apabila sebuah lori kontena yang menuju ke Ipoh merempuh bahagian belakang sebuah lori.
Akibat rempuhan itu, lori kontena berkenaan terbabas, lalu terbalik dan melanggar struktur tiang papan tanda.
Kemalangan itu menyebabkan struktur papan tanda tersebut tumbang dan menghempap sebuah kereta Mercedes yang sedang berada di lorong tengah.
Kemalangan tersebut turut menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh dua kilometer.
Dzulkarnain meninggalkan tiga anak bersama isteri pertama, Jamnah dan lima anak dengan isteri keduanya, Rozita.
#Dzulkarnain Kamaruzzaman #Jamnah Ibrahim #kemalangan #Nor Juliana #r.supramaniam