KUALA LUMPUR: Jenazah bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara hari ini.

Jenazah tiba di tanah perkuburan itu pada jam 2.24 petang diiringi ahli keluarga, saudara-mara selain orang kenamaan yang mahu memberi penghormatan terakhir.

Terdahulu, jenazah dimandi, dikafan dan disembahyangkan di Masjid Negara selepas dibawa dari kediamannya di Seksyen 13, Shah Alam.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Makam Pahlawan.

Perubahan lokasi pengebumian kemudian dimaklumkan kepada media dan orang ramai oleh ahli keluarga.

Pada Sabtu, Allahyarham dilaporkan meninggal dunia pada usia 85 tahun.

Allahyarham dilapor menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.15 pagi.

Perkara itu dimaklumkan anaknya, Kapten Abdul Rahmat Omar Mohammed Hanif menerusi platform WhatsApp awal pagi Sabtu.

Mohammed Hanif yang lahir pada 16 Januari 1939 merupakan Ketua Polis Negara Malaysia yang keempat dan juga Ketua Polis Negara paling lama berkhidmat di Malaysia iaitu selama 20 tahun. 

BERITA LANJUT MENYUSUL