Jenazah Tun Rahah tiba di kediamannya

Ridauddin Daud
Disember 18, 2020 10:45 MYT
Jenazahnya tiba dari Pusat Perubatan Prince Court yang tidak jauh dari kediamannya. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Jenazah Allahyarhamah Tun Rahah Mohamad Noah tiba di kediamannya di Jalan Eaton pada jam 6.15 petang tadi.
Jenazahnya tiba dari Pusat Perubatan Prince Court yang tidak jauh dari kediamannya.
Tinjauan Astro AWANI mendapati laluan masuk ke kediaman ini sudah ditutup anggota polis.
BACA: Tun Rahah meninggal dunia
BACA: Kekuatan di sebalik kelembutan wanita bernama Tun Rahah
BACA: Mengenang Tun Rahah: Insan ini penyayang, prihatin, baik hati dan tabah - Hishammuddin
Anggota polis juga dilihat sudah mula berkawal di hadapan rumah Allahyarhamah.
Beberapa petugas media juga dilihat sudah mula berkampung di luar rumah.
Balu kepada perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein itu dilaporkan baru sahaja meninggal dunia sekitar jam 4.30 petang, Jumaat (18 Disember) di Pusat Perubatan Prince Court di ibu negara.
Khabar pemergian Tun Rahah, yang berusia 87 tahun itu disahkan sendiri oleh Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi akaun Twitter rasminya.
Tun Rahah merupakan ibu kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.
Selain Najib, Tun Hajah Rahah mempunyai empat lagi anak termasuk bekas Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Mohamed Nazir Razak.
Terdahulu, Tun Hajah Rahah yang dimaklumkan berada dalam keadaan tidak sihat di hospital menerima kunjungan beberapa pemimpin negara.
Dalam perkongsian di Facebook, Najib merafak sembah dan menjunjung kasih atas kunjungan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa dan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Astro AWANI sedang mengikuti perkembangan terkini pemergian Allahyarham Tun Rahah di saluran 501, Live TV di platform digital dan semua platform media sosial Astro AWANI.
#Tun Rahah Mohamad Noah #Jalan Eaton #jenazah #prince court #Najib Razak #Tun Abdul Razak Hussein