KUALA LUMPUR: Jenazah anak sulung kepada Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tunku Khadijah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini, pada kira-kira 3 petang tadi.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dimandikan, dikafankan dan disolatkan selepas solat zohor di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Lebih 100 orang hadir bagi menziarahi dan memberikan penghormatan terakhir kepada anak Perdana Menteri Pertama itu, terdiri daripada kaum keluarga dan sahabat handai.

Menurut anak Allahyarham, Datin Seri Sharifah Menyalara Hussein, Tunku Khadijah meninggal dunia pada 6.50 petang semalam akibat kanser paru-paru di Hospital Pantai Kuala Lumpur pada usia 89 tahun.

Beliau berkata, ibunya menghembuskan nafas terakhir selepas beberapa jam dimasukkan ke hospital setelah didiagnosis dengan penyakit berkenaan awal tahun ini.

Allahyarham yang meninggalkan tiga anak termasuk Sharifah Menyalara dan tujuh cucu, sepatutnya menyambut ulang tahun kelahiran ke-90 pada 8 Okt ini. - BERNAMA