Jenazah Yahya dibawa pulang petang ini

Rohana Wahed
Oktober 4, 2018 04:39 MYT
Turut berada di Kampung Tian ialah Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, yang memberi kata semangat dan bantuan awal kepada keluarga mangsa.
Atas permintaan keluarga, jenazah Yahya Ali, anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang yang maut semalam akan diterbangkan lebih awal ke Sibu, iaitu pada petang ini.
Perkara itu disahkan Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii ketika dihubungi Astro AWANI di sini pada Khamis.
"Atas bantuan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, jenazah Allahyarham akan diterbangkan dengan pesawat Hercules C130 dari Pangkalan Udara Subang pada jam 2 petang," katanya.
Beliau dihubungi sebelum berlepas ke Sibu, bersama-sama Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Khirudin Drahman.
Yahya, 24 tahun, anak sulung daripada empat beradik berasal dari perkampungan Melanau, Kampung Tian, Matu, Sibu.
"Jenazah akan dibawa ke kampung halamannya dengan menaiki helikopter Bomba dan Penyelamat MI17.
"Kita sedang bersiap sedia menyambut perjalanan akhir wira negara itu," katanya.
Sementara itu, turut berada di Kampung Tian ialah Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, yang memberi kata semangat dan bantuan awal kepada keluarga mangsa.
Yahya, 24 tahun adalah mangsa termuda dalam kumpulan Pasukan Penyelamat Di Dalam Air (PPDA) yang sedang terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat seorang remaja berusia 17 tahun di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Selangor.
Mereka bagaimanapun dibawa arus deras dan pusaran air, sebelum lemas.
#bomba #Kampung Tian #Matu #Pelabuhan Klang #Sibu #Tiong Ling Hii #Yahya Ali