MALAYSIA
Jenazah Zaleha Hamid selamat dikebumikan
Ungku Sulaiman menyiram air mawar di atas pusara Zaleha di Tanah Perkuburan Islam Kassim Noor, Kampung Sungai Danga, pada Jumaat.
JOHOR BAHRU: Jenazah penyanyi dangdut era 80-an, Zaleha Hamid atau nama sebenarnya Siti Zaleha Abdul Hamid, 68, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kassim Noor, Kampung Sungai Danga di Johor Bahru, kira-kira jam 3 petang, Jumaat.
Jenazah tiba dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) sekitar jam 11 pagi sebelum disolatkan di Masjid Al Asma’ul Husna, Bandar Uda Utama, selepas solat Jumaat.
Satu majlis tahlil ringkas turut diadakan, diketuai imam masjid berkenaan bersama ahli keluarga serta rakan-rakan Allahyarham.
Hadir sama ke tanah perkuburan ialah Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), Datuk DJ Dave.
Sebelum ini, media melaporkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di HSA pada jam 8.30 malam Khamis akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Allahyarham meninggalkan suami, Ungku Sulaiman Ungku Aziz, 60, serta tiga anak iaitu Zalisham Samsudin, 48, Ungku Chik Zafierul Azman, 37, dan Ungku Nor Muhammad Danial, 28, serta enam orang cucu.
Suaminya menyifatkan Allahyarham sebagai seorang isteri dan ibu yang bertanggungjawab walaupun sibuk dengan kerjaya sebagai penyanyi.
Zaleha dikenali sebagai Ratu Dangdut Malaysia dan Singapura menerusi lagu-lagu popular seperti Dangdut Reggae, Kerana Pengalaman, Nasib Janda, Jangan Kau Tangiskan, dan Kekasih di Tangan Orang. - Sinar Harian