SIBU: Meskipun berdepan pelbagai cabaran, pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa satu (2020-2022) di Sarawak bagi memacu aspirasi negeri itu untuk mencapai status negeri maju menjelang 2030 tetap mengikut jadual.

Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Sarawak Adiman Ajem berkata antara cabaran dihadapi adalah bentuk muka bumi yang bergunung-ganang terutama di kawasan tengah dan utara Sarawak.

"Untuk membuat sambungan rangkaian antara satu menara ke menara lain mencabar kerana memerlukan titik penglihatan untuk laksanakan rangkaian telekomunikasi yang berkualti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau tapak menara telekomunikasi Simpang Ulu Bayan di Mukah, kira-kira 180 kilometer dari Pekan Sibu, yang dinaik taraf ke 4G, baru-baru ini.

Selain itu, Adiman berkata taburan penduduk yang berselerak dan jarak jauh antara satu perkampungan dengan perkampungan lain juga merupakan cabaran kerana keadaan penempatan seperti itu memerlukan lebih banyak infrastruktur digital seperti menara untuk meliputi kawasan tersebut.

Beliau berkata pelaksanaan infrastruktur perkhidmatan telekomunikasi ke kawasan luar bandar di Sarawak juga berdepan dengan cabaran logistik dan akses ke lokasi liputan kerana untuk sampai ke sesetengah perkampungan masih menggunakan laluan sungai atau jalan balak.

Menurut Adiman, cabaran lain ialah keperluan bekalan elektrik kerana menara-menara memerlukan kuasa elektrik untuk beroperasi dan kebanyakan menara di kawasan luar bandar masih bergantung kepada teknologi solar dan sumber jana kuasa diesel yang memakan kos tinggi.

"Kawasan yang memerlukan perhatian lebih adalah dari bahagian tengah ke utara Sarawak antaranya Ulu Baram, Belaga, Kapit, Julau dan Pakan. Kawasan ini memerlukan lebih banyak perancangan dari segi penyediaan infrastruktur terutama menara telekomunikasi," katanya.

Kerajaan Persekutuan pada November 2021 mengumumkan peruntukan sebanyak RM4.09 bilion kepada Sarawak untuk melaksanakan JENDELA fasa satu sebagai usaha memperluas dan menambah baik perkhidmatan jalur lebar dan sebagai persediaan peralihan kepada teknologi 5G.

-- BERNAMA