[TERKINI] Skandal 1MDB: Bradley Hope Dedah Jho Low Hidup Mewah di Shanghai – Dapatkan Perincian Di Sini
DREBAR

Jentera WRC i20 musim 2016 oleh Hyundai dilancarkan

Astro Publication 15/12/2015 | 06:00 MYT

Hyundai Motorsport telah melancarkan jentera rali yang akan digunakan untuk musim Kejuaraan Rali Dunia (WRC) 2016. Ia diasaskan model i20 lima-pintu generasi terbaharu yang telah mula dibangunkan sejak awal tahun 2015 lagi.

Dalam proses itu, ia telah menjalani ujian pemanduan berjumlah 8,000km di mana para pemandu mengesahkan yang ia adalah lebih pantas berbanding kereta rali i20 yang digunakan pada musim lepas. Selain itu, jentera baharu ini turut dikatakan lebih mudah untuk dipandu.

Tiga buah kereta ini akan menyertai setiap perlumbaan di dalam kalendar WRC 2016 yang masing-masing akan dipandu oleh Dani Sordo, Hayden Paddon dan Thierry Neuville.

Perlumbaan pertama bagi 2016 adalah Rali Monte Carlo, di mana cuma sepasang kereta spesifikasi 2016 akan digunakan, manakala sebuah lagi akan menggunakan kereta 2015. Ia kemudian akan direhatkan sebelum ditukar kepada kereta 2016 bagi semua perlumbaan-perlumbaan seterusnya.

Ini adalah penyertaan musim ketiga berturut-turut bagi pasukan Hyundai Motorsport di dalam WRC. Walaupun belum dapat memberi saingan sengit kepada pasukan juara bertahan iaitu Volkswagen, persembahan Hyundai sebenarnya amat memberansangkan.

Penyertaan Hyundai Motorsport akan dikendali dua pasukan yang juga penaja-penaja penting sepertimana yang digambarkan oleh nama rasmi pasukan tersebut – Pasukan Rali Dunia Hyundai Shell dan Pasukan Rali Dunia Hyundai Mobis.

(Corak kereta lumba i20 pasukan Mobis akan ditunjukkan pada awal 2016 nanti)


Satu lagi pengumuman penting Hyundai Motorsport adalah berkenaan projek R5. Ia adalah untuk menghasilkan kereta lumba khas bagi pelanggan/pembeli yang berminat untuk menyertai rali menggunakan Hyundai. Enam bulan pertama 2016 akan digunakan untuk penyelidikan dan pembangunan sebelum terus ke proses homologasi pada pertengahan tahun. Kemudian, tempahan akan dibuka bermula enam bulan terakhir 2016.
# # i20 # wrc #Hyundai