Skip to main content

Malaysia

Jepun percepat penggunaan AI, aset pertahanan tanpa pemandu

Japan's Prime Minister Sanae Takaichi speaks to media after holding phone talks with Iran's President Masoud Pezeshkian at her official residence in Tokyo, Japan April 8, 2026, in this photo taken by Kyodo. Mandatory credit Kyodo/via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS IMAGE HAS BEEN SUPPLIED BY A THIRD PARTY. MANDATORY CREDIT. JAPAN OUT. NO COMMERCIAL OR EDITORIAL SALES IN JAPAN.
Sanae Takaichi memutuskan untuk mempercepat semakan semula dokumen bagi menangani perubahan dalam persekitaran keselamatan, termasuk cabaran yang ditimbulkan China dan Korea Utara. - Gambar fail/Reuters
Advertisement

TOKYO: Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi pada Rabu memberitahu pegawai kanan Pasukan Pertahanan Diri (SDF) bahawa Jepun perlu mempercepat penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan aset pertahanan tanpa pemandu menjelang semakan semula tiga dokumen utama keselamatan negara yang dirancang pada akhir tahun ini, lapor Kyodo News.

"Sudah tentu kita perlu memperkenalkan dengan lebih pantas" teknologi yang berkembang pada kadar sama sekali berbeza berbanding peralatan tradisional, seperti AI dan aset pertahanan tanpa pemandu, kata Takaichi selaku pemerintah tertinggi SDF.

Takaichi berkata dokumen berkenaan, yang akan disemak semula kurang empat tahun selepas kemas kini terdahulu pada 2022, "akan menetapkan hala tuju baharu bagi memperkukuh keupayaan pertahanan", ketika persekitaran keselamatan semakin kompleks dan negara-negara berlumba-lumba membangunkan sistem bersepadu AI serta mengendalikan pesawat tanpa pemandu secara besar-besaran.

Strategi Keselamatan Negara semasa dan dua lagi dokumen berkaitan pertahanan yang dirangka pada 2022 pada asalnya bertujuan untuk tempoh 10 tahun, namun Takaichi memutuskan untuk mempercepat semakan semula dokumen berkenaan bagi menangani perubahan dalam persekitaran keselamatan, termasuk cabaran yang ditimbulkan China dan Korea Utara.

Jepun turut berdepan tekanan daripada pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump supaya meningkatkan perbelanjaan pertahanan.

Awal minggu ini, Kementerian Pertahanan mengemukakan permohonan peruntukan tertinggi dalam sejarah berjumlah 8.89 trilion yen (US$55 bilion) bagi tahun fiskal 2027 yang bermula April, dengan rancangan membangunkan dron serangan kos rendah serta mengintegrasikan AI dalam struktur pemerintahan SDF.

"Aktiviti SDF dan usaha memperkukuh keupayaan pertahanan secara menyeluruh yang sedang dilaksanakan kerajaan tidak dapat direalisasikan tanpa pemahaman serta kerjasama rakyat," kata Takaichi.

Beliau turut berikrar untuk menambah baik keadaan kerja anggota SDF ketika pasukan itu terus berdepan kekurangan anggota.

Sebuah kumpulan kajian di Yayasan Keamanan Sasakawa, sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan dan kebajikan yang berpangkalan di Tokyo, yang dianggotai bekas pegawai tertinggi Kementerian Pertahanan dan bekas pegawai kanan SDF, pada Rabu menggesa penyelarasan lebih rapat dengan sektor swasta.

Bidang kerjasama dengan sektor swasta telah diperluas merangkumi pembuatan dan penyelenggaraan peralatan pertahanan, pengendalian infrastruktur komunikasi, pertahanan siber, AI, analisis data serta satelit, menurut kumpulan itu dalam cadangannya.

Dalam semakan terdahulu dokumen keselamatan berkenaan, Jepun memutuskan untuk memperoleh keupayaan serangan balas, yang menandakan perubahan besar daripada dasar berorientasikan pertahanan semata-mata di bawah Perlembagaan yang menolak peperangan, selain menetapkan sasaran meningkatkan perbelanjaan pertahanan kepada bersamaan 2.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Mesyuarat Pegawai Pemerintah Kementerian Pertahanan dan Pasukan Pertahanan Diri itu diadakan buat kali pertama sejak Takaichi memegang jawatan pada Oktober tahun lepas.

Mesyuarat berkenaan pertama kali diadakan pada 1964 dan lazimnya berlangsung setiap tahun sehingga September 2019, manakala pertemuan secara dalam talian diadakan pada 2020 ketika pandemik COVID-19.

-- BERNAMA-KYODO

Must Watch Video

Advertisement