[TERKINI] Polis Kenal Pasti Peserta Program Motivasi Rumah Tangga eHati – Amaran Tangkapan Jika Enggan Bekerjasama – Ikuti Perkembangan Di Sini
MALAYSIA

Jepun puji kejayaan Malaysia bawa pulang rakyat dari Korea Utara - PM Najib

Sharom Abu Bakar 15/04/2017 | 13:01 MYT
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menyambut ketibaan sembilan rakyat Malaysia, yang sebelum ini dihalang daripada meninggalkan Korea Utara susulan perbalahan diplomatik antara Kuala Lumpur dan Pyongyang, pada 31 Mac lalu. - Gambar Fail
Kerajaan Jepun memuji kejayaan Malaysia dalam membawa pulang sembilan rakyatnya yang dilarang keluar oleh Korea Utara sebelum ini.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Duta Jepun ke Malaysia Dr Makio Miyagawa mengagumi tindakan Kementerian Luar Malaysia dalam berunding dengan kerajaan Korea Utara dalam menyelesaikan isu berkenaan dalam situasi yang sukar.

Menurut beliau, Jepun turut mengakui sehingga kini negara itu masih gagal dalam rundingan untuk membawa pulang lebih seratus rakyat mereka yang diculik Korea Utara.

Rundingan itu dikatakan telah bermula sejak 40 tahun lalu namun kesemuanya menghadapi jalan buntu dan nasib mereka tidak diketahui.

“Duta Jepun, dia tabik Malaysia. Dia kata kita berjaya bawa balik rakyat. Kejayaan kita ini menggambarkan negara lain amat menghormati kita, bukan saja menghormati kita, menyanjung tinggi pada negara Malaysia. Malah mereka boleh menimbangkan suatu yang lebih daripada negara lain untuk Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan Program Perumahan Rakyat Bukit Nanas di sini, hari ini.

Menurut beliau lagi, pencapaian serta kewibawaan Malaysia dalam pelbagai bidang turut membuka lebih banyak peluang ekonomi termasuk kelulusan pelaburan lebih RM31 bilion oleh kerajaan Arab Saudi dan tambahan kuota haj baru-baru ini.
#Jepun #kim jong nam #Korea Utara #Najib Razak #Perdana Menteri #PM