[TERKINI] Najib Razak Dilepas Tanpa Dibebaskan – Kes SRC RM27 Juta, Ikuti Laporan di Sini
MALAYSIA

Jepun sokong usaha Johor jadi model mobiliti bandar ASEAN

Bernama 19/06/2025 | 13:01 MYT
Noriyuki Shikata berkata, inisiatif itu selari dengan pertumbuhan pesat ekonomi Johor, khususnya yang dipacu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). - Bernama
JOHOR BAHRU: Jepun komited menyokong transformasi Johor sebagai penanda aras mobiliti bandar di peringkat ASEAN menerusi penggunaan teknologi pengangkutan terkini dan penyelesaian transit pintar.
Duta Besar Jepun ke Malaysia Noriyuki Shikata berkata inisiatif itu selari dengan pertumbuhan pesat ekonomi Johor, khususnya yang dipacu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang bakal meletakkan negeri itu sebagai hab ekonomi serantau yang penting.
Beliau berkata projek Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS) yang dijangka siap akhir 2026, serta cadangan Sistem Transit Rapid Autonomi Bertingkat (E-ART), merupakan komponen utama dalam usaha menambah baik pengangkutan awam di Johor.
Dengan penggunaan sistem kawalan trafik berkuasa AI dan rangkaian pengangkutan awam dioptimumkan secara digital dari Jepun, Johor berpotensi besar mengurangkan kesesakan lalu lintas dan muncul sebagai model pengangkutan bukan sahaja untuk Malaysia, tetapi juga seluruh rantau ASEAN, katanya ketika berucap di Nikkei Forum Medini Johor 2025 di sini, Khamis.
Forum dua hari itu dianjurkan bersama oleh Iskandar Investment Bhd dan Nikkei Inc dari Jepun, dengan kerjasama kerajaan negeri Johor serta sokongan Bahagian Perancang Ekonomi Johor, Invest Johor dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.
Shikata turut mengetengahkan potensi strategik Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Johor yang mempunyai kedudukan kukuh untuk berkembang sebagai hab logistik serantau yang berdaya saing serta memainkan peranan lebih besar dalam perdagangan antarabangsa.
Beliau berkata pihak berkepentingan dari Jepun berminat untuk bekerjasama dalam meningkatkan kecekapan operasi dan pengurusan trafik kapal di kedua-dua pelabuhan tersebut, bagi mengukuhkan peranan Johor dalam perdagangan antarabangsa, mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti, dan menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi serantau.
Memandangkan Johor terus muncul sebagai destinasi utama pusat data, Shikata menekankan cabaran alam sekitar yang besar akibat permintaan tenaga tinggi bagi sistem penyejukan, dan menyatakan bahawa teknologi penyejukan berasaskan LNG dari Jepun menawarkan penyelesaian yang mesra alam dan cekap tenaga.
"Dengan menggunakan teknologi ini, pusat data di Johor dapat meningkatkan kecekapan tenaga secara ketara, mengurangkan kesan terhadap alam sekitar, dan pada masa sama menambah baik kecekapan operasi," katanya.
"Kami juga menyedari bahawa aliran tenaga hijau dari Sarawak ke Johor bukan sahaja akan menjamin bekalan tenaga mampan, malah membuka peluang pelaburan hijau baharu di Malaysia bagi syarikat Jepun," tambah beliau.
Shikata berkata kerjasama seperti ini dijangka mempercepat pertumbuhan ekonomi mampan di Jepun, Malaysia dan seluruh rantau ASEAN, sejajar dengan visi Grid Kuasa ASEAN yang giat dipromosikan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Pertukaran pelajar antarabangsa amat penting untuk melahirkan bakat dan kepimpinan masa depan. Kami menggalakkan program bersama antara universiti Jepun dan Johor bagi memperkukuh kerjasama dua hala berasaskan kepercayaan dan persahabatan," katanya.
Shikata menegaskan komitmen berterusan Jepun untuk memperkukuh hubungan dengan Malaysia, sambil menekankan bahawa kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta kedua-dua negara dalam bidang pelaburan hijau, pengangkutan dan pendidikan adalah penting bagi membina masa depan yang lebih cerah dan makmur.
-- BERNAMA
#Johor #ASEAN #mobiliti bandar #Noriyuki Shikata #teknologi pengangkutan