PUTRAJAYA: Kualiti udara negara terus merosot apabila 11 kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 6 petang ini, dengan 10 daripadanya di Sarawak.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS) Azuri Azizah Saedon berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian mencatatkan bacaan tertinggi, iaitu 197, menghampiri tahap sangat tidak sihat (bermula pada bacaan 201), diikuti Kuching (191), Samarahan (178).
Sementara itu, Sri Aman (177), Sarikei (171), Sibu (160), Mukah (158), Bintulu (157), Samalaju (153), Miri (136) dan satu lagi kawasan yang merekodkan tahap tidak sihat ialah Bukit Rambai, Melaka dengan bacaan IPU 152.
"Kualiti udara dalam negara pada hari ini didapati merosot dengan peningkatan kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat melibatkan kawasan di Sarawak yang disebabkan oleh pergerakan asap jerebu daripada pelbagai arah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 6 petang, sebanyak 57 kawasan merekodkan kualiti udara sederhana, manakala tiada kawasan mencatatkan tahap baik.
Menurut laporan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) semalam, sebanyak 425 titik panas dikesan di Kalimantan dan 187 di Sumatera, berbanding 15 titik panas dalam negara.
Azuri Azizah berkata daripada jumlah titik panas dalam negara, tujuh dikesan di Sarawak, masing-masing dua di Johor, Pahang dan Terengganu serta masing-masing satu di Kelantan dan Melaka.
Beliau berkata Peta Jerebu Serantau ASMC dikeluarkan hari ini menunjukkan cuaca kering berlaku di selatan rantau ASEAN dengan kelompok titik panas bertaburan dikesan di beberapa kawasan Kalimantan.
"Kepulan asap sederhana diperhatikan di tengah dan selatan Sumatera. Jerebu sederhana turut diperhatikan di barat Borneo," katanya.
Susulan keadaan cuaca panas dan kering, Azuri Azizah berkata JAS memperkukuh pemantauan, pencegahan serta penguatkuasaan terhadap aktiviti pembakaran terbuka di seluruh negara.
Beliau berkata sebanyak 838 titik panas dipantau di seluruh negara hingga Ogos, manakala 4,147 rondaan darat dilaksanakan menerusi Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT), selain 640 penerbangan dron.
Bagi tempoh 1 Jan hingga 18 Ogos pula, beliau berkata JAS menyiasat 6,603 kes pembakaran terbuka yang dikesan menerusi aduan awam dan pengesanan titik panas menggunakan imej satelit.
Dalam pada itu, Azuri Azizah berkata tindakan berkaitan jerebu akan dilaksanakan mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) sekiranya bacaan IPU terus meningkat.
Beliau berkata Operasi Pembenihan Awan (OPA) juga boleh dilaksanakan apabila IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam, tertakluk kepada kehadiran awan dan keadaan cuaca yang sesuai.
JAS menasihatkan orang ramai supaya terus memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa dan mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka.
-- BERNAMA