KUALA LUMPUR: Sebanyak 13 kawasan di Sarawak mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 5 petang ini dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian merekodkan bacaan tertinggi, iaitu 197.
Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), selain IPD Serian, kawasan lain yang merekodkan IPU tidak sihat ialah Kuching, iaitu 184, Samarahan (181), Sri Aman (176), Bintulu (174), Sibu (167) dan Sarikei (165).
Bacaan IPU tahap tidak sihat turut direkodkan di Samalaju (164), Miri (161), Mukah (160), Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (155), Limbang (153) dan Kapit (120).
Sementara itu, sebanyak 45 kawasan di seluruh negara mencatat bacaan pada tahap sederhana, manakala sembilan kawasan merekodkan bacaan baik.
Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300 berada pada tahap berbahaya.
-- BERNAMA