KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu di beberapa negeri terus menunjukkan peningkatan apabila stesen Seremban di Negeri Sembilan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 152 setakat 12 tengah hari ini, manakala sebanyak 24 stesen pemantauan di seluruh negara berada dalam kategori tidak sihat.
Berdasarkan kemas kini Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan di Seremban meningkat daripada 147 pada 11 pagi kepada 152 pada tengah hari.
Nilai dan Putrajaya turut merekodkan bacaan tinggi dalam kategori tidak sihat dengan masing-masing mencatatkan bacaan 157.
Di Sarawak, stesen pemantauan Serian kekal merekodkan bacaan IPU tertinggi di negara ini walaupun menurun dua mata kepada 178. Samarahan merekodkan bacaan 169, diikuti Kuching (165), Sri Aman (160), Bintulu (154), Sibu (152) dan Miri (151), yang semuanya berada dalam kategori tidak sihat.
Sarikei pula mencatatkan bacaan 100 dan kembali ke kategori sederhana.
Di Lembah Klang, Johan Setia mencatatkan peningkatan ketara kepada 140 berbanding 119 pada jam sebelumnya, manakala Shah Alam kekal pada bacaan 153.
Cheras merekodkan bacaan 147, turun daripada 151 pada sejam sebelumnya, manakala Batu Muda mencatatkan bacaan 109.
Di selatan Semenanjung, Larkin mencatatkan bacaan 157, manakala Segamat, Batu Pahat dan Tangkak masing-masing merekodkan bacaan 155.
Bandaraya Melaka dan Bukit Rambai pula mencatatkan bacaan masing-masing 139 dan 132.
Di Pahang, Indera Mahkota mencatatkan bacaan 100, iaitu had tertinggi kategori sederhana.
Sementara itu, utara Semenanjung terus merekodkan kualiti udara terbaik dengan Kangar dan Langkawi masing-masing mencatatkan bacaan IPU 27.
Orang ramai di kawasan yang merekodkan bacaan tidak sihat dinasihatkan supaya mengehadkan aktiviti luar, memakai pelitup muka serta mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami masalah pernafasan.