Skip to main content

Malaysia

Jerebu: 27 kawasan catat IPU tidak sihat setakat 9 pagi

Kawasan paling terjejas ialah Johan Setia, Selangor dengan bacaan IPU 173, diikuti Nilai, Negeri Sembilan (169) dan Bukit Rambai, Melaka (168). - Foto fail/BERNAMA
Kawasan paling terjejas ialah Johan Setia, Selangor dengan bacaan IPU 173, diikuti Nilai, Negeri Sembilan (169) dan Bukit Rambai, Melaka (168). - Foto fail/BERNAMA

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 27 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 9 pagi hari ini berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS).

Kawasan paling terjejas ialah Johan Setia, Selangor dengan bacaan IPU 173, diikuti Nilai, Negeri Sembilan (169) dan Bukit Rambai, Melaka (168).

Turut merekodkan bacaan tidak sihat ialah Seremban dan Alor Gajah masing-masing dengan IPU 165, diikuti Bandaraya Melaka, Pasir Gudang dan Tangkak yang mencatat bacaan 164.

Di Lembah Klang, Batu Muda di Kuala Lumpur merekodkan bacaan IPU 162, Petaling Jaya (160), Klang (158), Banting (156), Shah Alam (155) dan Cheras (155).

Beberapa kawasan di Johor turut berada pada tahap tidak sihat termasuk Batu Pahat (159), Kota Tinggi (158), Kluang (155), Larkin (153) dan Pengerang (147).

Di Sarawak, Kuching dan IPD Serian masing-masing merekodkan IPU 153, manakala Samarahan mencatat bacaan 138.

Sementara itu, hanya tiga kawasan mencatatkan kualiti udara pada tahap baik iaitu Tanah Merah dan Kota Bharu di Kelantan dengan bacaan IPU 50, serta Limbang, Sarawak yang merekodkan bacaan 47.

Sebanyak 38 stesen pula berada pada tahap sederhana, termasuk Segamat, Johor (99); Tawau, Sabah (98); Tasek Ipoh, Perak (94); dan Minden, Pulau Pinang (80).

Mengikut klasifikasi APIMS, bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan melebihi 300 berbahaya.

Orang ramai terutama kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai penyakit pernafasan dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar susulan keadaan jerebu yang menjejaskan beberapa negeri di Semenanjung serta Sarawak.

 

 

Must Watch Video

Advertisement