Skip to main content

Malaysia

Jerebu: 34 kawasan catat IPU tidak sihat setakat 7 pagi

https://images.bernama.com/images/1547023#:~:text=KUALA%20LUMPUR%2C%2014,HAK%20CIPTA%20TERPELIHARA
Keadaan jerebu terus menjejaskan beberapa negeri, khususnya Sarawak dan kawasan di Pantai Barat Semenanjung. - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 34 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 7 pagi ini, dengan Johan Setia, Selangor mencatat bacaan tertinggi iaitu 198.

Menurut data rasmi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) yang dikendalikan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), keadaan jerebu terus menjejaskan beberapa negeri, khususnya Sarawak dan kawasan di Pantai Barat Semenanjung.

Di Sarawak, beberapa kawasan mencatat bacaan IPU antara tertinggi di negara ini dengan Kuching merekodkan bacaan 192, diikuti Samarahan (185) dan IPD Serian (182), masing-masing dalam kategori tidak sihat.

Selain itu, beberapa lagi kawasan di negeri itu turut mencatat bacaan tidak sihat termasuk Mukah, Sarikei, Samalaju, Bintulu, Miri, Miri dan Sibu.

Sementara itu, di Semenanjung, kawasan lain yang merekodkan bacaan tidak sihat termasuk Nilai, Negeri Sembilan, selain beberapa lokasi di Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Johor dan Pahang.

Mengikut klasifikasi JAS, bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala bacaan 201 hingga 300 adalah sangat tidak sihat dan melebihi 300 diklasifikasikan sebagai berbahaya.

Orang ramai, khususnya kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah kesihatan berkaitan pernafasan, dinasihatkan mengehadkan aktiviti luar dan mengambil langkah perlindungan sewajarnya sepanjang tempoh jerebu.

 

Must Watch Video

Advertisement