Skip to main content

Malaysia

Jerebu: 34 stesen catat IPU tidak sihat setakat 7 pagi

Pemandangan di sekitar bandar raya Shah Alam terjejas akibat diselubungi jerebu. - Foto fail/BERNAMA
Pemandangan di sekitar bandar raya Shah Alam terjejas akibat diselubungi jerebu. - Foto fail/BERNAMA

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 34 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 7 pagi ini, dengan kawasan Klang dan Johan Setia di Selangor mencatat bacaan tertinggi iaitu 192.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), turut merekodkan bacaan tidak sihat ialah Larkin, Johor (187); Bukit Rambai, Melaka (186); Nilai, Negeri Sembilan (185); dan Seremban, Negeri Sembilan (182).

Di Selangor, selain Klang dan Johan Setia, kawasan Shah Alam (181), Banting (171), Petaling Jaya (170) dan Kuala Selangor (161) turut mencatat bacaan tidak sihat.

Beberapa kawasan di Johor turut terjejas termasuk Pasir Gudang (181), Batu Pahat (180), Tangkak (175), Pengerang (173), Kluang (164), Kota Tinggi (163) dan Segamat (161).

Di Melaka, bacaan tidak sihat direkodkan di Alor Gajah dan Bandaraya Melaka, masing-masing pada paras 178.

Putrajaya mencatat bacaan 176, manakala dua stesen di Kuala Lumpur iaitu Cheras dan Batu Muda masing-masing merekodkan bacaan 174 dan 163.

Negeri Sembilan turut merekodkan bacaan tidak sihat di Port Dickson (175), sementara beberapa kawasan lain yang mencatat bacaan serupa termasuk Tanjung Malim dan Seri Manjung di Perak, Temerloh, Jerantut, Indera Mahkota Kuantan serta Rompin di Pahang, Samarahan dan Serian di Sarawak, Kemaman di Terengganu serta Minden dan Seberang Perai di Pulau Pinang.

Sementara itu, 34 stesen lain merekodkan bacaan sederhana, dengan Paka, Terengganu mencatat bacaan tertinggi dalam kategori itu iaitu 99.

Mengikut klasifikasi APIMS, bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala bacaan 51 hingga 100 berada pada tahap sederhana.

Orang ramai, terutama golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan, dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar sekiranya keadaan jerebu berterusan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement