KUALA LUMPUR: Jerebu rentas sempadan bukan sahaja mengancam kesihatan manusia, malah memberi kesan jangka panjang terhadap kelangsungan ekosistem dan populasi hidupan liar akibat kemusnahan habitat serta gangguan sistem pernafasan.
Pakar Governan Persekitaran Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata antara kesan ketara terhadap fauna ialah kerosakan pernafasan kronik, penurunan kadar pembiakan, dehidrasi dan kekurangan sumber makanan.
Ketua Laboratori Institut Pengajian Sains Sosial UPM itu berkata mamalia besar dan primat seperti orang utan di Borneo serta Sumatera, misalnya, berdepan ancaman jangkitan saluran pernafasan susulan kebakaran hutan yang turut menjejaskan ketersediaan sumber makanan haiwan itu.
“Jerebu ini bukan hanya memberi kesan kepada manusia tetapi juga haiwan dan tumbuhan.
"Asap toksik turut mengganggu kitaran hidup serangga pendebungaan seperti lebah dan kelip-kelip, selain menjejaskan taburan makanan haiwan pemakan buah seperti burung enggang,” katanya ketika menjadi tetamu program Fokus 30 terbitan Bernama Radio di sini hari ini.
Haliza berkata jerebu tebal turut mengurangkan jarak penglihatan hidupan liar, menyebabkan haiwan berisiko tersesat sehingga keluar dari habitat asal ke kawasan pinggir hutan atau petempatan manusia.
“Apabila melarikan diri daripada kebakaran atau dihimpit asap jerebu yang tebal, tenaga haiwan susut akibat dehidrasi dan kelaparan. Bila kurang air dan kelaparan, haiwan ini menjadi lemah seperti rusa, kijang dan tapir.
“Keadaan ini secara tidak langsung meningkatkan risiko hidupan liar menjadi sasaran mudah pemburu haram, terutama apabila penguatkuasaan lebih tertumpu kepada operasi pemadaman kebakaran dan pengurusan bencana krisis jerebu,” katanya.
Bagi mengurangkan risiko berkenaan, Haliza mencadangkan penubuhan pasukan tindak balas pantas merentas agensi melibatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Beliau turut menyarankan pelaksanaan protokol penyelamatan dan pemindahan hidupan liar, pembinaan koridor migrasi kecemasan serta penggunaan sistem amaran awal berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan penderia kualiti udara di kawasan rizab hutan.
Terdahulu, seluruh bahagian Serian di Sarawak diisytiharkan darurat berikutan keadaan jerebu yang mencapai tahap bahaya dengan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) mencecah 514 setakat 4 petang ini.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenan pengisytiharan darurat itu selepas mengambil kira nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta agensi berkaitan.
-- BERNAMA