KUALA LUMPUR: Situasi jerebu di Sarawak dan Johor terus meruncing apabila beberapa kawasan mencatatkan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dalam tempoh sejam terakhir, manakala sebahagian kawasan di Lembah Klang menunjukkan penurunan bacaan.
Berdasarkan perbandingan data terbaharu daripada Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) pada jam 1 petang, Serian kekal sebagai lokasi paling terjejas di negara ini apabila bacaan IPU meningkat kepada 176 berbanding 174 sebelumnya.
Kuching turut mencatatkan peningkatan kepada 172 daripada 171, diikuti Sri Aman (166) dan Samarahan (165). Sibu pula kekal pada tahap tidak sihat dengan bacaan 158.
Di Johor, Larkin merekodkan peningkatan kepada 157, diikuti Pasir Gudang (153), manakala Tangkak melonjak kepada 117 berbanding 106 pada jam sebelumnya.
Di Sarawak, Bintulu kembali mencatatkan bacaan tidak sihat apabila meningkat kepada 103, manakala Kapit terus menunjukkan peningkatan kualiti udara dengan bacaan menurun kepada 98 daripada 100.
Sementara itu, beberapa kawasan di Lembah Klang mencatatkan penurunan bacaan IPU. Cheras dan Batu Muda di Kuala Lumpur masing-masing merekodkan bacaan 139 dan 124 berbanding 151 dan 148 sebelumnya.
Putrajaya turut mencatatkan penurunan kepada 111 daripada 134, manakala Petaling Jaya kembali ke kategori sederhana selepas bacaannya turun kepada 99.
Di utara Semenanjung, Langkawi terus merekodkan bacaan IPU terendah negara pada paras 14, diikuti Kangar pada paras 19.
Orang ramai khususnya golongan warga emas, kanak-kanak serta individu yang mempunyai masalah pernafasan dinasihatkan mengehadkan aktiviti luar dan memakai pelitup muka yang sesuai ketika berada di kawasan yang mencatatkan bacaan tidak sihat.