Skip to main content

Malaysia

Jerebu: Bacaan IPU di Sarawak, Lembah Klang terus meningkat setakat 5 petang

Sumber: BERNAMA
Perbandingan bacaan antara jam 2 petang hingga 5 petang menunjukkan beberapa kawasan di Lembah Klang dan kawasan tengah Semenanjung terus merekodkan peningkatan IPU. -Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 16 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 5 petang hari ini, dengan beberapa kawasan di Sarawak, Lembah Klang dan Negeri Sembilan terus merekodkan peningkatan bacaan.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Serian di Sarawak kekal mencatatkan bacaan tertinggi negara pada paras 178, manakala Kuching meningkat kepada 173 berbanding 171 pada jam sebelumnya.

Sri Aman turut mencatatkan peningkatan kepada 169, sementara Samarahan kekal pada paras 164.

Perbandingan bacaan antara jam 2 petang hingga 5 petang menunjukkan beberapa kawasan di Lembah Klang dan kawasan tengah Semenanjung terus merekodkan peningkatan IPU.

Cheras meningkat kepada 151, Putrajaya naik kepada 124 dan Nilai, Negeri Sembilan mencatatkan bacaan 116.

Bintulu di Sarawak turut meningkat kepada 115 berbanding 106 pada jam sebelumnya.

Di Johor, Tangkak mencatatkan bacaan 100 selepas menurun daripada 102, manakala Batu Pahat meningkat kepada 100 daripada 99. Kedua-dua stesen berada pada had tertinggi kategori sederhana.

Sementara itu, Batu Muda di Kuala Lumpur mencatatkan sedikit penurunan kepada 115, manakala Bukit Rambai di Melaka turut menurun kepada 102.

Di utara Semenanjung, Langkawi terus merekodkan bacaan IPU terendah negara pada paras 15, diikuti Kangar pada paras 19 dan Alor Setar pada paras 23.

Orang ramai di kawasan yang masih mencatatkan bacaan tidak sihat dinasihatkan mengehadkan aktiviti luar, memakai pelitup muka serta memastikan pengambilan air yang mencukupi bagi mengurangkan kesan pendedahan kepada jerebu.

Must Watch Video

Advertisement