KUALA LUMPUR: Stesen Batu Muda di Kuala Lumpur merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi negara iaitu 173 setakat jam 12 tengah hari ini.
Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Johan Setia di Selangor merekodkan bacaan 171, diikuti Petaling Jaya (169), Shah Alam (168) dan Cheras (167).
Sebanyak 28 kawasan di seluruh negara berada dalam kategori tidak sihat, berkurangan daripada 31 kawasan yang direkodkan pada jam 11 pagi.
Data APIMS menunjukkan beberapa kawasan mencatatkan penurunan bacaan IPU berbanding sejam sebelumnya.
Indera Mahkota, Kuantan kembali ke kategori sederhana dengan bacaan 99, diikuti Temerloh (97), manakala Kemaman mencatatkan bacaan 100.
Di Terengganu, Paka kekal sebagai satu-satunya kawasan dalam kategori tidak sihat dengan bacaan 157.
Rompin di Pahang mencatatkan bacaan 130, turun daripada 152 sejam sebelumnya, namun masih berada dalam kategori tidak sihat.
Di Perak, Tanjung Malim memasuki kategori tidak sihat selepas bacaan meningkat kepada 121. Tasek, Ipoh dan Pegoh, Ipoh pula masing-masing merekodkan bacaan 155 dan 152.
Di selatan Semenanjung, Nilai dan Bukit Rambai masing-masing merekodkan bacaan 165, diikuti Seremban (162), Larkin (158) dan Tangkak (152).
Sabah dan Sarawak terus bebas daripada bacaan IPU tidak sihat. Sri Aman merekodkan bacaan 86, diikuti Samarahan (85), IPD Serian (81) dan Kuching (79).
Bagi kategori kualiti udara baik, Kimanis di Sabah terus merekodkan bacaan terendah negara iaitu 26, diikuti ILP Miri (36), Limbang (37), Langkawi (39), Kota Kinabalu (42) dan Politeknik Kota Kinabalu (45).