Skip to main content

Malaysia

Jerebu: Darurat bukan seperti 'lockdown' COVID-19, sekatan perkhidmatan bakal diperinci - Uggah

SERIAN, 20 Ogos - Matahari kelihatan suram diselubungi jerebu tebal menerusi satu pemandangan yang dirakamkan di Jalan Serian-Tebedu, hari ini. Keadaan kualiti udara di Sarawak semakin membimbangkan apabila Serian mencatatkan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada paras bahaya iaitu 364 setakat jam 8 pagi tadi. Sementara itu, tiga lagi kawasan turut terjejas teruk dengan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat, iaitu Samarahan (300), Kuching (291), dan Sri Aman (214). - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata langkah pengisytiharan darurat jerebu bertujuan memastikan orang ramai berada di rumah bagi melindungi kesihatan susulan keadaan kualiti udara yang semakin serius. -Gambar Bernama
Advertisement

KUCHING: Pengisytiharan darurat jerebu di kawasan terjejas di Sarawak tidak bermaksud pelaksanaan sekatan pergerakan (lockdown) seperti ketika pandemik COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata langkah darurat jerebu bertujuan memastikan orang ramai berada di rumah bagi melindungi kesihatan susulan keadaan kualiti udara semakin merudum.

“Darurat ini bukan macam perintah kawalan pergerakan (PKP) ketika COVID-19, darurat ini adalah dengan niat untuk memastikan orang awam berada di rumah.

“Maka pejabat kerajaan dan swasta diminta tutup,” katanya dalam satu sidang media, di sini, pada Jumaat.

Bagaimanapun, beliau berkata beberapa perkhidmatan penting akan terus beroperasi sepanjang tempoh darurat, termasuk pasar raya, stesen minyak dan bank.

Menurutnya, perkhidmatan keselamatan seperti polis dan tentera serta beberapa agensi kerajaan yang diperlukan oleh masyarakat akan terus beroperasi.

Uggah berkata perincian mengenai perkhidmatan yang dibenarkan beroperasi akan diumumkan selepas keputusan berhubung pengisytiharan darurat ditetapkan di peringkat Persekutuan.

"Cadangan pengisytiharan darurat dikemukakan selepas bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di Serian melebihi 500, iaitu tahap tertinggi dan sangat berbahaya di bawah Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

"Pengisytiharan berkenaan hanya akan melibatkan kawasan terjejas dan bukan seluruh Sarawak," jelasnya

Beliau turut menegaskan darurat akan ditarik kembali apabila bacaan indeks pencemaran Udara (IPU) kembali ke bawah paras 500, kerana matlamat utamanya adalah untuk melindungi nyawa dan kesihatan rakyat.

"Kebanyakan kita pada waktu itu (darurat jerebu di Sarawak pada tahun 1997) belum lagi berada pada tampuk pemerintahan, ini pertama kali terjadi sejak saya jadi Pengerusi JBPN.

"Tadi Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telefon saya, beliau pun kata masih berbincang apa yang perlu dibuat.

"Jadi kita tetapkan rantaian arahan, supaya pihak-pihak yang bertanggungjawab tahu kedudukan mereka.

"Sekarang ini figura yang mengawal keseluruhan polisi adalah Majlis Keselamatan Negeri, dipengerusikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Yang lain adalah pelaksana," jelasnya.

Must Watch Video

Advertisement