Jerebu di Pulau Pinang hampiri paras tidak sihat

Astro Awani
Mac 3, 2014 04:25 MYT
Negeri Pulau Pinang hampir tidak kelihatan dilanda jerebu sejak Ahad.
Tinjauan mendapati keadaan di beberapa tempat seperti Jambatan Pulau Pinang dan bangunan Komtar hampir tidak kelihatan dilindungi kabus jerebu yang agak tebal.
Jurucakap Jabatan Meteorologi Pulau Pinang memaklumkan bacaan pada jam 8 pagi Isnin mendapati jarak penglihatan di Butterworth dan Bayan Lepas mencatatkan jarak 3 kilometer, manakala di Prai pula, ianya 6 kilometer.
Sementara itu, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan di Pulau Pinang sehingga jam 11 pagi tadi menghampiri paras tidak sihat.
Bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di Seberang Jaya 2 mencatatkan bacaan 94 manakala Perai 88 dan Universiti Sains Malaysia, 79.
Kesemua tiga bacaan merekodkan peningkatan sejak pukul 8 pagi tadi.
Bacaan IPU pada tahap 5-50 adalah baik, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan melebihi 300 (berbahaya).
#indeks pencemaran udara (IPU) #jerebu #pulau pinang