SINGAPURA: Titik panas dan jerebu di beberapa kawasan di selatan ASEAN mungkin bertambah buruk dalam beberapa hari akan datang berikutan cuaca kering yang berpanjangan, sekali gus meningkatkan risiko jerebu rentas sempadan, menurut Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC).
Dalam laporan harian terbaharunya, ASMC berkata kelompok titik panas dikesan di beberapa kawasan di Kalimantan serta Sumatera tengah dan selatan, manakala hanya beberapa titik panas direkodkan di kawasan lain di rantau itu.
“Kepulan asap sederhana hingga tebal dikesan di Kalimantan Barat, Tengah dan Selatan, serta di bahagian tengah dan selatan Sumatera.
“Beberapa stesen kualiti udara di Kalimantan Barat dan Selatan, barat Sarawak, barat Semenanjung Malaysia serta Sumatera tengah dan selatan merekodkan bacaan 'tidak sihat' hingga 'sangat tidak sihat' ,” menurut laporan itu pada Rabu.
ASMC berkata angin di selatan ASEAN dijangka bertiup dari arah tenggara hingga barat daya.
Sementara itu, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) Singapura berkata kualiti udara negara itu kekal pada paras sederhana, dengan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam mencatatkan bacaan antara 59 hingga 78 setakat 2 petang Rabu.
Kawasan tengah merekodkan bacaan tertinggi.
-- BERNAMA