Skip to main content

Malaysia

Jerebu: Enam kawasan di Sarawak rekod IPU sangat tidak sihat setakat 4 petang

KUCHING, 1 Sept - Pemandangan matahari yang suram akibat jerebu dirakam berhampiran Dewan Undangan Negeri Sarawak, hari ini. Enam kawasan di Sarawak mencatatkan Indeks Pencemar Udara (IPU) tahap berbahaya setakat 8 pagi ini iaitu Serian (408), Kuching (407), Samarahan (372), Sri Aman (361), Sarikei (333) dan Sibu (309). - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Enam kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat setakat 4 petang ini, dengan Kuching mencatatkan bacaan tertinggi, iaitu 264. - Foto Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Enam kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat setakat 4 petang ini, dengan Kuching mencatatkan bacaan tertinggi, iaitu 264.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), lima lagi kawasan di Sarawak yang turut mencatatkan bacaan sangat tidak sihat ialah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian (259), Sri Aman (240), Samarahan (220), Bintulu (210) dan Samalaju (207).

Sementara itu, sebanyak 25 stesen merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat di seluruh negara dengan tujuh di Sarawak iaitu Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (191), Mukah (188), Miri (183), Sarikei (180), Sibu (175), Limbang (162) dan Kapit (152).

Di Sabah, bacaan tidak sihat direkodkan di Kimanis (170), Kota Kinabalu (157) dan Politeknik Kota Kinabalu (156), manakala Labuan mencatatkan bacaan 169.

Tahap IPU tidak sihat turut dikesan di Johor melibatkan kawasan Batu Pahat (157), Tangkak (157), Segamat (156), Kluang (155) dan Larkin (153), selain Bukit Rambai (158), Alor Gajah (154) serta bandar raya Melaka (103) di Melaka.

Bagi Negeri Sembilan, kawasan yang terlibat ialah Nilai (156), Seremban (154) dan Port Dickson (105), manakala di Selangor membabitkan Johan Setia (158) dan Putrajaya (147) selain Balok Baru Kuantan di Pahang (144).

Sementara itu, sebanyak 27 stesen merekodkan bacaan pada tahap sederhana manakala 10 stesen mencatatkan bacaan pada tahap baik.

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300 adalah berbahaya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement