KUALA LUMPUR: Jumlah stesen pemantauan yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dalam kategori tidak sihat meningkat kepada 27 stesen setakat 4 petang ini berbanding 26 stesen pada jam sebelumnya.
Peningkatan itu disumbang oleh Segamat, Johor yang menjadi stesen terbaharu memasuki kategori tidak sihat selepas mencatat bacaan 101, berbanding 97 pada jam 3 petang.
Menurut data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pasir Gudang, Johor kekal merekodkan bacaan IPU tertinggi negara pada paras 181.
Kualiti udara di Pantai Barat Semenanjung, Lembah Klang dan selatan Semenanjung turut menunjukkan trend kemerosotan apabila Bandar Diraja Klang meningkat kepada 179, diikuti Johan Setia (178), manakala Nilai dan Larkin masing-masing mencatat bacaan 177.
Bukit Rambai, Melaka pula meningkat satu mata kepada 176.
Di Pahang, Temerloh terus mencatat peningkatan ketara apabila bacaan IPU melonjak 24 mata daripada 124 kepada 148 dalam tempoh sejam.
Sebaliknya, Paka, Terengganu menunjukkan trend pemulihan dengan penurunan 15 mata kepada 136, manakala Rompin, Pahang turut merekodkan penurunan kepada 123.
Di Lembah Klang, kawasan lain yang masih berada dalam kategori tidak sihat ialah Cheras (171), Putrajaya (168), Shah Alam (165), Banting (164), Batu Muda (163) dan Petaling Jaya (158).
Sementara itu, di utara Semenanjung, Kangar, Perlis mencatat bacaan 52, sekali gus kekal dalam kategori sederhana.
Perkembangan itu menjadikan Langkawi, Kedah dengan bacaan 46 sebagai satu-satunya stesen di negara ini yang masih berada dalam kategori baik.
Secara keseluruhan setakat 4 petang ini, sebanyak 27 stesen berada dalam kategori tidak sihat (101 hingga 200), 40 stesen dalam kategori sederhana (51 hingga 100), manakala hanya satu stesen mengekalkan kategori baik (0 hingga 50).