Selangor mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat di keseluruhan kawasan stesen pengawasan kualiti Jabatan Alam Sekitar pagi ini.

Setakat pukul 8 pagi ini, Pelabuhan Kelang merekodkan bacaan 132, diikuti Banting (133), Shah Alam (126), Petaling Jaya (127) dan Kuala Selangor (108).

Dua lagi lokasi yang mempunyai catatan bacaan IPU tidak sihat ialah Batu Muda, Kuala Lumpur dengan bacaan 115 dan Nilai, Negeri Sembilan (109).

Perak dan Pulau Pinang merekodkan bacaan IPU menurun daripada tidak sihat kepada sederhana berbanding semalam dengan semua kawasan di bawah 100.

Antara kawasan lain yang turut mencatat bacaan sederhana ialah Wilayah Persekutuan iaitu Cheras (83) dan Putrajaya (87); Port Dickson (68) dan Seremban (83) di Negeri Sembilan; Balok Baru, Kuantan (63); Tanah Merah, Kelantan (61); Bandaraya Melaka (79) dan Bukit Rambai (76) di Melaka; Alor Setar (59) dan Sungai Petani (81); Muar (87) dan Pasir Gudang (51) di Johor; Kemaman, Terengganu (52) serta Sri Aman, Sarawak (52).

Bacaan IPU pada tahap 5-50 adalah baik, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan melebihi 300 (berbahaya).