SEREMBAN: Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) menasihati orang ramai supaya mengurangkan aktiviti fizikal dan lasak di luar bangunan susulan peningkatan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat termasuk di Seremban dan Nilai.
Pengarah Kesihatan negeri Dr Zuraida Mohamed berkata meskipun situasi penyakit berkaitan jerebu di negeri itu masih terkawal dan belum menunjukkan peningkatan ketara dalam trend kedatangan pesakit atau kemasukan ke hospital, langkah pencegahan perlu diambil bagi mengurangkan risiko terhadap kesihatan awam.
“Bagi kawasan yang menunjukkan bacaan IPU tidak sihat (100 hingga 200), tahap pencemaran jerebu boleh menjejaskan kesihatan golongan berisiko tinggi.
“Orang awam khususnya golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, wanita hamil dan individu yang menghidap penyakit kronik tidak digalakkan melakukan aktiviti riadah atau sukan di luar rumah,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata kepekatan jerebu yang tinggi berpotensi berlaku di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya hingga 31 Ogos.
Menurut data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) setakat pagi tadi, sebanyak 20 kawasan di seluruh negara mencatatkan IPU pada tahap tidak sihat dengan Seremban merekodkan bacaan 108.
Sementara itu, Dr Zuraida berkata orang ramai sebaik-baiknya berada di dalam rumah atau bangunan dan mengehadkan tempoh berada di luar, selain menggunakan pelitup muka yang sesuai sekiranya perlu berada di luar.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya memastikan udara di dalam rumah bersih dengan menutup pintu dan tingkap serta mengelakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalaman seperti merokok.
Beliau berkata JKNNS sentiasa memantau situasi jerebu dan kesannya terhadap kesihatan penduduk secara berterusan bagi memastikan sebarang peningkatan penyakit berkaitan jerebu dapat dikesan dan ditangani segera.
Dr Zuraida berkata penyakit berkaitan jerebu iaitu konjunktivitis, asma dan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) dipantau melalui empat klinik kesihatan (KK) yang ditetapkan sebagai pusat pemantauan iaitu KK Seremban, Ampangan, Nilai dan Port Dickson.
“Selain itu, pemantauan turut dijalankan di hospital bagi mengesan kes asma yang mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu boleh diperoleh melalui laman sesawang Kementerian Kesihatan di pautan “Jerebu – Info Sihat”, Bahagian Pendidikan Kesihatan.
-- BERNAMA
TAG: