Ringkasan AI
- Jumlah kawasan dengan kualiti udara tidak sihat meningkat kepada 28 stesen setakat 12 tengah hari, berbanding 27 stesen pada sebelah pagi.
- Pasir Gudang, Johor mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara tertinggi negara iaitu 177, diikuti beberapa kawasan lain dengan bacaan melebihi 170.
- Orang ramai di kawasan terjejas dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar dan memakai pelitup muka untuk mengurangkan risiko kesihatan akibat jerebu.
KUALA LUMPUR: Situasi jerebu di Malaysia semakin merosot apabila jumlah kawasan yang merekodkan kualiti udara tidak sihat meningkat kepada 28 stesen setakat 12 tengah hari ini berbanding 27 stesen pada sebelah pagi.
Kawasan terbaharu membabitkan stesen Kuala Terengganu yang merekodkan peningkatan 13 mata dalam tempoh sejam, daripada kategori sederhana dengan bacaan 99 pada pukul 11 pagi kepada kategori tidak sihat dengan bacaan 112.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Pasir Gudang di Johor merekodkan bacaan tertinggi negara apabila meningkat kepada 177.
Bandar Diraja Klang, Selangor yang sebelum ini berkongsi bacaan tertinggi pada pukul 11 pagi pula mencatatkan penurunan satu mata kepada 175, iaitu sama dengan bacaan di Johan Setia.
Beberapa kawasan lain turut merekodkan bacaan tinggi termasuk Nilai, Negeri Sembilan (174), Bukit Rambai, Melaka (171) dan Cheras, Kuala Lumpur (170).
Di selatan Semenanjung, bacaan turut meningkat di beberapa kawasan termasuk Pengerang (168) dan Larkin (165) di Johor serta Alor Gajah (158) di Melaka.
Di Sarawak, keadaan menunjukkan sedikit pemulihan apabila bacaan di IPD Serian dan Sri Aman masing-masing menurun empat mata kepada 143 dan 137 dalam tempoh sejam.
Secara keseluruhan, selain 28 stesen dalam kategori tidak sihat (101-200), sebanyak 38 stesen merekodkan kualiti udara sederhana (51-100).
Kangar, Perlis (49) dan Langkawi, Kedah (41) kekal sebagai dua kawasan sahaja di negara ini yang mencatatkan status kualiti udara baik.
Orang ramai di kawasan terjejas dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar, terutama aktiviti fizikal yang lasak, serta memakai pelitup muka yang sesuai bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat pendedahan kepada jerebu.
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Berapakah jumlah stesen yang merekodkan kualiti udara tidak sihat setakat 12 tengah hari?
A: Sebanyak 28 stesen merekodkan kualiti udara tidak sihat setakat 12 tengah hari. - Q: Kawasan manakah yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi di Malaysia?
A: Pasir Gudang, Johor mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 177. - Q: Apakah nasihat kepada orang ramai di kawasan terjejas akibat jerebu?
A: Orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar, terutama aktiviti fizikal yang lasak, serta memakai pelitup muka yang sesuai untuk mengurangkan risiko kesihatan. - Q: Berapakah jumlah stesen yang merekodkan kualiti udara sederhana dan baik?
A: Sebanyak 38 stesen merekodkan kualiti udara sederhana, manakala dua kawasan iaitu Kangar dan Langkawi mencatatkan kualiti udara baik. - Q: Adakah terdapat kawasan yang menunjukkan pemulihan kualiti udara?
A: Ya, di Sarawak, bacaan di IPD Serian dan Sri Aman masing-masing menurun empat mata dalam tempoh sejam.