KUALA LUMPUR: Kebakaran tanah gambut boleh berlaku di bawah tanah, merebak jauh dan kekal marak untuk tempoh yang lama.
Timbalan Ketua (Penyelidikan) dan Pengarah UN SDSN-Asia Sunway University, Prof. Emeritus Datuk Chm. Dr. Mazlin Mokhtar berkata situasi tersebut menyebabkan kesukaran untuk menentukan punca berlakunya kebakaran terbabit.
“Walaupun satelit boleh kesan titik panas, tetapi ia tidak boleh tunjuk kepada kita siapa yang cetuskan kebakaran; pekebun kecil, syarikat besar atau sebagainya.
“Pada masa yang sama kita tidak boleh salahkan mana-mana pihak. Sebab kadangkala kebakaran bermula di satu tempat, tetapi disebabkan api marak di bawah tanah gambut, ia bergerak sejauh beberapa kilometer untuk tempoh berbulan-bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Dalam temu bual sama, Felo Akademi Sains Malaysia, Prof. Emeritus Dr. Fredolin Tangang pula berkata, ketika fenomena El Nino sedang memuncak, pembenihan awan bukan solusi terbaik untuk menangani jerebu dan kebakaran yang sedang berlaku.
“Kalau suhu lebih tinggi, corak tiupan angin yang membawa kelembapan di Asia Tenggara, Sabah dan Sarawak akan lebih kuat. Kelembapan itu akan bergerak ke Lautan Asia Pasifik.
“Jika tidak ada kelembapan, maknanya kering dan hendak membenih awan juga tidak boleh. Penyelesaiannya bukan pembenihan awan. Dalam situasi El Nino, pembenihan awan tidak berkesan,” jelas pakar klimatologi dan perubahan iklim itu.
Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) melaporkan, Kalimantan merekodkan peningkatan ketara titik panas sepanjang Ogos, dengan 9,849 titik panas dikesan berbanding 1,339 pada Julai.
ASMC turut melaporkan asap sederhana hingga tebal daripada kelompok titik panas di Kalimantan Barat bergerak ke arah utara, sekali gus menyumbang kepada jerebu yang menjejaskan beberapa kawasan di Malaysia dan negara jiran.
Setakat 9 malam Khamis, IPD Serian mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) Berbahaya pada bacaan 408. Manakala tiga kawasan lain mencatatkan bacaan Sangat Tidak Sihat iaitu Kuching (275), Sri Aman (269), dan Samarahan (263).
Selain itu, 13 kawasan lain mencatatkan IPU Tidak Sihat di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan. Selebihnya, 46 kawasan lain mencatatkan bacaan IPU sederhana.