KUALA LUMPUR: Keputusan penutupan sekolah akibat jerebu bergantung pada penilaian semasa serta nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, keputusan berhubung perkara itu tidak dibuat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) secara bersendirian, sebaliknya mengambil kira panduan dan penilaian agensi berkaitan.
“Bukan KPM sahaja yang buat keputusan semata-mata. Panduan memang kita ambil sepenuhnya daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan juga KKM,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Petah KPM Peringkat Kebangsaan di sini, pada Isnin.
Fadhlina berkata, keputusan akan dibuat dari semasa ke semasa melalui jawatankuasa berkaitan selepas mempertimbangkan semua keadaan, termasuk penilaian Indeks Pencemaran Udara (IPU) dan nasihat mengenai kesihatan.
“Kita buat keputusan itu dalam jawatankuasa secara bersama setelah mempertimbangkan semua keadaan,” katanya.
Beliau berkata, ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan memantau tahap kesihatan anak-anak dan tidak menghantar mereka ke sekolah sekiranya tidak sihat.
“Sebab itu dalam pedoman yang kita berikan kepada ibu bapa, sekiranya anak-anak tidak sihat, tidak perlu dihantar ke sekolah dan maklumkan kepada sekolah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau meminta ibu bapa supaya sentiasa mengikuti perkembangan terkini daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masing-masing, khususnya berkaitan penutupan atau pembukaan sekolah serta langkah menjaga kesihatan murid.
Menurutnya, pandangan agensi berkaitan turut membantu KPM membuat keputusan dengan mengambil kira kesan penutupan sekolah untuk tempoh yang panjang terhadap pendidikan murid.
“Pandangan-pandangan yang diberikan kepada KKM juga banyak membantu kita untuk membuat keputusan, khususnya dalam menentukan urusan-urusan yang terkait dengan impak kalau sekolah ditutup terlalu lama, akan memberikan kesan kepada pendidikan anak-anak kita,” katanya.
Menjawab pertanyaan sekiranya jerebu dijangka berlarutan sehingga November atau Disember, Fadhlina berkata, keputusan akan dibuat dari semasa ke semasa berdasarkan panduan dan nasihat semua anggota jawatankuasa yang terlibat dalam menangani jerebu.
Sebelum ini, KPM mengarahkan semua sekolah di Johor serta sekolah di empat PPD di Selangor dan Wilayah Persekutuan akan ditutup Isnin susulan situasi jerebu yang masih berterusan di negara ini.
Sekolah di bawah empat PPD itu ialah kawasan Bangsar Pudu, Hulu Langat, Gombak dan Petaling Perdana.
Bagaimanapun sekolah di Melaka, Pulau Pinang, Putrajaya, Labuan, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak pula kekal beroperasi seperti biasa.