Skip to main content

Malaysia

Jerebu: Kerajaan perhalusi cadangan penambahbaikan PTJK - PM Anwar

Mesyuarat Majlis Pengurusan Bencana Negara yang membincangkan secara terperinci situasi semasa jerebu yang masih membimbangkan serta kesannya terhadap kesihatan rakyat, khususnya anak-anak sekolah. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
Mesyuarat Majlis Pengurusan Bencana Negara yang membincangkan secara terperinci situasi semasa jerebu yang masih membimbangkan serta kesannya terhadap kesihatan rakyat, khususnya anak-anak sekolah. - Foto Facebook Anwar Ibrahim

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kerajaan sedang meneliti penambahbaikan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, termasuk arahan penutupan sekolah dan kesinambungan pembelajaran ketika jerebu.
  • Peruntukan bagi operasi pembenihan awan akan dipenuhi, dengan operasi dijalankan hampir setiap hari bergantung keadaan awan untuk mengurangkan jerebu.
  • Mesyuarat turut membincangkan persediaan menghadapi Monsun Timur Laut, risiko banjir, ancaman Super El Nino serta memperkasa kesiapsiagaan agensi barisan hadapan.

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti cadangan penambahbaikan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK), khususnya berkaitan arahan penutupan sekolah susulan situasi jerebu yang masih membimbangkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan itu turut merangkumi persediaan awal Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan proses pembelajaran dapat diteruskan sekiranya sekolah terpaksa ditutup selama beberapa hari.

“Saya tegaskan bahawa kesihatan anak-anak mesti menjadi keutamaan, dengan langkah yang teratur bagi memastikan pelajaran mereka tidak terjejas.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Meteorologi Malaysia akan memperhalusi cadangan ini bersama KPM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pengurusan Bencana Negara pada Isnin, yang membincangkan situasi semasa jerebu serta kesannya terhadap kesihatan rakyat, khususnya murid sekolah.

Dalam pada itu, Anwar turut memberi jaminan bahawa keperluan peruntukan bagi operasi pembenihan awan akan dipenuhi sebagai usaha mengurangkan jerebu.

“Saya turut menegaskan bahawa keperluan peruntukan bagi operasi pembenihan awan akan dipenuhi untuk mengurangkan jerebu.

“Operasi ini sedang dijalankan hampir setiap hari, bergantung pada keadaan awan yang sesuai,” jelasnya.

Sementara itu, mesyuarat berkenaan turut membincangkan persediaan negara menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka membawa hujan lebat dan risiko banjir, selain ancaman Super El Nino yang diramal menyebabkan cuaca panas serta kering melampau tahun depan.

Anwar turut menekankan keperluan meningkatkan kesiapsiagaan agensi barisan hadapan, termasuk memperkasa NADMA sebagai penyelaras dasar dan operasi merentas agensi.

“Kesiapsiagaan agensi barisan hadapan mesti terus dipertingkat. NADMA perlu diperkasa sebagai nadi penyelarasan dasar dan operasi merentas agensi, khususnya melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana Pusat, agar langkah pencegahan, persediaan, tindak balas dan pemulihan dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan,” katanya.

Beliau turut menggesa kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, sektor swasta, sukarelawan dan masyarakat bagi memperkukuh kesiapsiagaan komuniti.

“Nyawa rakyat mesti dilindungi dan bantuan mesti sampai segera kepada mereka yang memerlukan. Inilah amanah yang mesti kita galas bersama,” tegasnya.

Must Watch Video

Advertisement