Ringkasan AI
- KFC Malaysia menyumbangkan 20,000 pelitup muka kepada komuniti rentan di Lembah Klang melalui kerjasama dengan Kechara Soup Kitchen dan The Lost Food Project.
- Inisiatif ini adalah sebahagian daripada Program KFC Harvest yang turut mengagihkan makanan dan bertujuan mengurangkan pembaziran serta meningkatkan keterjaminan makanan.
- Sejak 2019, Program KFC Harvest telah mengagihkan lebih 61,000 kilogram lebihan makanan kepada ribuan individu dan keluarga di seluruh negara.
KUALA LUMPUR: KFC Malaysia menyumbangkan 20,000 pelitup muka kepada komuniti rentan dan kurang mendapat perkhidmatan di seluruh Lembah Klang susulan kebimbangan berhubung kualiti udara pada masa ini, sekali gus mengesahkan komitmennya terhadap kesejahteraan masyarakat.
QSR Brands (M) Holdings Bhd dalam kenyataan memaklumkan inisiatif itu mencerminkan usaha berterusan syarikat berkenaan untuk mewujudkan impak sosial yang bermakna, di samping memenuhi keperluan segera komuniti yang berdepan dengan cabaran harian.
Sumbangan tersebut ialah usaha bersama antara KFC Malaysia dengan rakan Program Harvest, iaitu Kechara Soup Kitchen (KSK) dan The Lost Food Project (TLFP), dua rakan kerjasama yang mempunyai rangkaian luas dalam membantu golongan kurang mendapat perkhidmatan dan berisiko.
Kerjasama strategik itu bertujuan memastikan bantuan asas sampai kepada mereka yang paling memerlukan, di samping menyokong usaha KFC Malaysia untuk membina komuniti yang lebih kukuh, sihat dan berdaya tahan.
Ketua Tadbir Urus QSR Brands (M) Holdings Bhd Sahada Salihin berkata tanggungjawab syarikat berkenaan bukan sekadar menyediakan makanan, tetapi turut merangkumi usaha untuk menyokong komuniti dan menangani cabaran harian mereka.
“Sumbangan 20,000 pelitup muka ini merupakan langkah yang mudah, namun bermakna untuk menyampaikan keprihatinan dan perlindungan kepada komuniti rentan. Dengan bekerjasama rapat dengan rakan kongsi sekian lama kami, Kechara Soup Kitchen dan The Lost Food Project, kami dapat memastikan bantuan sampai kepada mereka yang paling memerlukannya,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Beliau berkata inisiatif itu melengkapi Program KFC Harvest yang membantu komuniti melalui pengagihan semula makanan sambil meminimumkan pembaziran.
“Bersama-sama rakan kerjasama, kami berharap dapat terus memberikan impak yang bermakna dan berkekalan kepada komuniti yang kami bantu,” katanya.
Majlis penyerahan simbolik itu diadakan di Menara QSR, dengan wakil kedua-dua badan bukan kerajaan (NGO) itu menerima pelitup muka bagi pihak komuniti terlibat, sekali gus menandakan pelancaran inisiatif jangkauan komuniti dua fasa untuk menyediakan penjagaan dan perlindungan tambahan kepada individu, termasuk gelandangan dan keluarga yang kurang mendapat perkhidmatan.
Dalam fasa pertama, KSK dan TLFP akan mengedarkan pelitup muka itu kepada penerima yang memerlukan melalui rangkaian jangkauan komuniti masing-masing.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif berkenaan, wakil KFC Malaysia bersama-sama sukarelawan KSK dan TLFP mengagihkan pelitup muka serta pek makanan KFC kepada golongan gelandangan di Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku, di sini pada Isnin.
“KSK dan TLFP bersama-sama membantu hampir 8,000 penerima manfaat di seluruh Lembah Klang, termasuk penghuni rumah kebajikan dan komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR), dengan impak usaha mereka turut meluas ke seluruh negara melalui aktiviti jangkauan komuniti,” menurut kenyataan itu.
Fasa kedua inisiatif tersebut akan dilaksanakan menerusi aktiviti akan datang di bawah Program KFC Harvest, inisiatif penyelamatan makanan utama rangkaian restoran makanan segera itu.
Menerusi pengagihan Program Harvest pada masa akan datang, penerima manfaat di rumah kebajikan dan pusat komuniti yang mengambil bahagian akan menerima pelitup muka dan hidangan KFC yang baru disediakan, selain sumbangan ayam sejuk beku.
Program KFC Harvest yang diperkenalkan di Malaysia pada 2019, menyelamatkan lebihan makanan daripada restoran yang mengambil bahagian dan mengagihkannya semula melalui rakan NGO kepada komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan dan rumah kebajikan, sekali gus membantu mengurangkan pembaziran makanan sambil meningkatkan keterjaminan makanan.
Sejak diperkenalkan, program itu berkembang merangkumi 170 restoran KFC di seluruh negara dan telah mengagihkan semula lebih 61,000 kilogram lebihan makanan, yang memberikan manfaat kepada ribuan individu dan keluarga di Malaysia.
-- BERNAMA