Skip to main content

Malaysia

Jerebu: KKM saran kurangkan aktiviti luar, pakai pelitup muka

Orang ramai dinasihatkan memakai pelitup muka N95 sekiranya perlu melakukan aktiviti luar ketika jerebu berikutan keupayaannya menapis partikel halus bersaiz 2.5 mikron (PM2.5) yang boleh memasuki sistem pernafasan dan membahayakan kesihatan. - Gambar fail/BERNAMA
Orang ramai dinasihatkan memakai pelitup muka N95 sekiranya perlu melakukan aktiviti luar ketika jerebu berikutan keupayaannya menapis partikel halus bersaiz 2.5 mikron (PM2.5) yang boleh memasuki sistem pernafasan dan membahayakan kesihatan. - Gambar fail/BERNAMA

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai memakai pelitup muka N95 ketika jerebu, terutama jika Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 100.
  • Jika pelitup muka N95 tidak diperoleh, pelitup muka tiga lapis boleh digunakan sebagai perlindungan tambahan yang terhad.
  • Setakat 2 petang, 35 stesen di sembilan negeri dan dua Wilayah Persekutuan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat, namun tiada kawasan pada tahap sangat tidak sihat atau berbahaya.

PUTRAJAYA: Orang ramai dinasihatkan memakai pelitup muka N95 sekiranya perlu melakukan aktiviti luar ketika jerebu berikutan keupayaannya menapis partikel halus bersaiz 2.5 mikron (PM2.5) yang boleh memasuki sistem pernafasan dan membahayakan kesihatan.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sekiranya pelitup muka N95 tidak dapat diperoleh, pemakaian pelitup muka tiga lapis boleh dipertimbangkan sebagai langkah perlindungan tambahan yang terhad.

Menurut KKM, penggunaan pelitup muka bersesuaian amat penting bagi mengurangkan pendedahan kepada bahan pencemar udara, khususnya ketika bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 100, iaitu pada tahap tidak sihat.

Kementerian itu menegaskan bahawa langkah paling berkesan untuk meminimumkan kesan buruk jerebu terhadap kesihatan adalah dengan mengelakkan aktiviti luar apabila kualiti udara berada pada tahap berkenaan.

"Walau bagaimanapun, sekiranya perlu melakukan aktiviti di luar, orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan pelitup muka yang bersesuaian," menurut kenyataan itu hari ini.

KKM berkata nasihat itu dikeluarkan susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini sejak beberapa minggu, dengan tahap pencemaran udara berubah-ubah mengikut lokasi dan keadaan semasa.

"KKM menyeru orang ramai supaya sentiasa berwaspada, mengurangkan pendedahan kepada jerebu dan mengutamakan kesihatan diri serta keluarga," menurut kenyataan itu.

Kementerian itu memaklumkan sebanyak 35 stesen pemantauan kualiti udara mencatatkan bacaan IPU pada tahap Tidak Sihat (101 hingga 200), melibatkan sembilan negeri dan dua Wilayah Persekutuan berdasarkan bacaan IPU melalui Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) pada 2 petang tadi.

Johor mencatatkan jumlah kawasan terjejas tertinggi dengan lapan kawasan diikuti Selangor (enam), Perak dan Pahang (masing-masing empat), serta Negeri Sembilan dan Melaka masing-masing tiga kawasan.

Kuala Lumpur dan Sarawak pula masing-masing mencatatkan dua kawasan dan Putrajaya, Terengganu serta Sabah masing-masing satu kawasan. Bagaimanapun, KKM memaklumkan tiada kawasan mencatatkan bacaan IPU pada tahap Sangat Tidak Sihat atau Berbahaya.

KKM memaklumkan pihaknya akan terus memantau situasi jerebu dan kesannya terhadap kesihatan penduduk, selain memastikan fasiliti kesihatan, bekalan ubat-ubatan serta petugas kesihatan sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan yang diperlukan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai langkah pencegahan dan perlindungan kesihatan semasa jerebu melalui laman sesawang KKM di https://infosihat.moh.gov.my/isu-semasa/51-jerebu.html.

-- BERNAMA  

 

Must Watch Video

Advertisement