Skip to main content

Malaysia

Jerebu: Kualiti udara bertambah baik di beberapa lokasi setakat 1 petang

Di Selangor, kebanyakan stesen utama tidak menunjukkan perubahan ketara apabila Petaling Jaya, Klang dan Johan Setia masing-masing mengekalkan bacaan 154, manakala Shah Alam meningkat satu mata kepada 153. -Gambar fail/Bernama
Di Selangor, kebanyakan stesen utama tidak menunjukkan perubahan ketara apabila Petaling Jaya, Klang dan Johan Setia masing-masing mengekalkan bacaan 154, manakala Shah Alam meningkat satu mata kepada 153. -Gambar fail/Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Situasi jerebu di seluruh negara menunjukkan sedikit peningkatan di beberapa kawasan walaupun 15 lokasi masih merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 1 tengah hari ini.

Nilai di Negeri Sembilan kekal merekodkan bacaan IPU tertinggi negara pada paras 163, tidak berubah berbanding kemas kini jam 12 tengah hari tadi.

Menurut data kualiti udara terbaharu, Bukit Rambai di Melaka menurun satu mata kepada 156, manakala Seremban meningkat satu mata kepada 155 berbanding 154 pada jam sebelumnya.

Di Selangor, kebanyakan stesen utama tidak menunjukkan perubahan ketara apabila Petaling Jaya, Klang dan Johan Setia masing-masing mengekalkan bacaan 154, manakala Shah Alam meningkat satu mata kepada 153.

Di kawasan Lembah Klang yang lain, Batu Muda meningkat satu mata kepada 154, Putrajaya meningkat lima mata kepada 145, manakala Cheras terus menunjukkan peningkatan kualiti udara dengan bacaan IPU turun daripada 114 kepada 112.

Port Dickson pula mencatatkan penurunan yang lebih ketara apabila bacaan IPU turun dua mata kepada 137 berbanding 139 pada jam terdahulu.

Di Johor, Pasir Gudang mencatatkan penurunan tiga mata kepada 105 manakala Tangkak kekal pada bacaan 152. Bandaraya Melaka pula menurun daripada 137 kepada 134, sementara Banting di Selangor susut kepada 129.

Secara keseluruhan, 53 stesen pemantauan IPU lain di seluruh negara berada pada tahap sederhana dan baik. Alor Gajah di Melaka terus merekodkan bacaan tertinggi dalam kategori sederhana pada paras 97, manakala bacaan IPU terendah dicatatkan di Kimanis, Sabah iaitu 38.

Must Watch Video

Advertisement