Ringkasan AI
- Jumlah kawasan dengan bacaan IPU Tidak Sihat menurun kepada 14 stesen berbanding 33 stesen pada waktu yang sama semalam.
- Beberapa kawasan di Terengganu, Pahang dan Johor masih mencatatkan bacaan IPU Tidak Sihat, dengan Pasir Gudang tertinggi pada paras 179.
- KKM dan JAS menasihati penduduk terjejas supaya mengurangkan aktiviti luar dan mengambil langkah pencegahan kesihatan sewajarnya.
KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu di negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung menunjukkan pemulihan ketara apabila jumlah kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) Tidak Sihat berkurangan setakat 10 pagi ini, namun beberapa kawasan di Terengganu dan Pahang mencatatkan kemerosotan kualiti udara.
Berdasarkan data terkini portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) kendalian Jabatan Alam Sekitar (JAS), jumlah stesen yang mencatatkan bacaan IPU Tidak Sihat di seluruh negara menurun kepada 14 stesen berbanding 33 stesen pada waktu yang sama semalam.
Kawasan perindustrian Pasir Gudang, Johor merekodkan bacaan tertinggi negara pada paras 179, diikuti Larkin dengan bacaan 178.
Bagaimanapun, sebahagian besar stesen di Johor merekodkan penurunan bacaan IPU yang ketara termasuk Batu Pahat yang mencatatkan bacaan 145 berbanding 190 semalam.
Di Pantai Timur, Kuala Terengganu mencatatkan bacaan Tidak Sihat 157, diikuti Kemaman (156), Balok Baru di Kuantan, Pahang (159) dan Rompin (152).
Bagi wilayah Lembah Klang, kebanyakan stesen pemantauan telah kembali ke kategori Sederhana termasuk Putrajaya (82), Petaling Jaya (83) dan Shah Alam (81). Namun, stesen Cheras di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kekal dalam kategori Tidak Sihat dengan bacaan 156.
Di Negeri Sembilan, kualiti udara di Seremban bertambah baik ke tahap Sederhana dengan bacaan 83 berbanding bacaan Tidak Sihat semalam.
Sementara itu, Sarawak merekodkan kualiti udara kategori Sederhana di semua stesen pemantauan, dengan Kuching mencatatkan bacaan 90.
Sebanyak empat stesen pula merekodkan kualiti udara dalam kategori Baik pagi ini. Balik Pulau di Pulau Pinang mencatatkan bacaan terbaik di negara ini pada paras 25, diikuti Langkawi, Kedah (37), Kangar, Perlis (47) dan Minden, Pulau Pinang (49).
Secara keseluruhan, daripada 68 stesen pemantauan kualiti udara yang dikendalikan JAS, sebanyak 14 stesen berada pada tahap Tidak Sihat (101 hingga 200), 50 stesen merekodkan tahap Sederhana (51 hingga 100), manakala empat stesen berada pada tahap Baik (0 hingga 50).
KKM dan JAS terus menasihati penduduk di Pantai Timur, Kuala Lumpur serta Johor yang masih terjejas supaya mengurangkan aktiviti luar dan mengambil langkah pencegahan kesihatan yang sewajarnya.
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Apakah perkembangan terkini keadaan jerebu di Pantai Barat Semenanjung?
A: Keadaan jerebu di Pantai Barat Semenanjung menunjukkan pemulihan ketara dengan penurunan jumlah kawasan yang merekodkan bacaan IPU Tidak Sihat. - Q: Berapakah jumlah stesen yang mencatatkan bacaan IPU Tidak Sihat setakat 10 pagi ini?
A: Jumlah stesen yang mencatatkan bacaan IPU Tidak Sihat menurun kepada 14 stesen berbanding 33 stesen pada waktu yang sama semalam. - Q: Kawasan manakah yang merekodkan bacaan IPU tertinggi di negara ini?
A: Kawasan perindustrian Pasir Gudang, Johor merekodkan bacaan IPU tertinggi pada paras 179, diikuti Larkin dengan bacaan 178. - Q: Bagaimana keadaan kualiti udara di Pantai Timur dan Lembah Klang?
A: Beberapa kawasan di Terengganu dan Pahang mencatatkan kemerosotan kualiti udara dengan bacaan Tidak Sihat, manakala kebanyakan stesen di Lembah Klang telah kembali ke kategori Sederhana kecuali Cheras yang kekal Tidak Sihat. - Q: Apakah nasihat KKM dan JAS kepada penduduk di kawasan terjejas?
A: KKM dan JAS menasihati penduduk di Pantai Timur, Kuala Lumpur serta Johor yang masih terjejas supaya mengurangkan aktiviti luar dan mengambil langkah pencegahan kesihatan yang sewajarnya.