Skip to main content

Malaysia

Jerebu: Kualiti udara Segamat terus merosot, Larkin catat IPU 183 setakat 6 petang

Peningkatan itu menjadikan IPU Segamat naik sebanyak 51 mata dalam tempoh dua jam, selepas mencatat bacaan 101 pada jam 4 petang dan 131 pada jam 5 petang. -Gambar hiasan/Bernama
Peningkatan itu menjadikan IPU Segamat naik sebanyak 51 mata dalam tempoh dua jam, selepas mencatat bacaan 101 pada jam 4 petang dan 131 pada jam 5 petang. -Gambar hiasan/Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Stesen pemantauan Segamat, Johor terus mencatat peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) paling ketara di negara ini apabila bacaannya melonjak 21 mata dalam tempoh sejam kepada 152 setakat 6 petang.

Peningkatan itu menjadikan IPU Segamat naik sebanyak 51 mata dalam tempoh dua jam, selepas mencatat bacaan 101 pada jam 4 petang dan 131 pada jam 5 petang.

Menurut data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) kendalian Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pasir Gudang kekal merekodkan bacaan IPU tertinggi negara apabila meningkat kepada 184.

Larkin pula melonjak kepada 183, sekali gus mengatasi Bandar Diraja Klang yang mencatat bacaan 182, manakala Johan Setia menjadi stesen terbaharu mencecah bacaan 180.

Turut mencatat peningkatan ialah Nilai, Negeri Sembilan yang naik kepada 179, manakala Bukit Rambai, Melaka merekodkan bacaan 175.

Di Lembah Klang, Cheras meningkat kepada 173 manakala Putrajaya mencatat bacaan 170.

Sebaliknya, beberapa kawasan di Pantai Timur menunjukkan perkembangan lebih baik apabila Rompin, Pahang turun kepada 99, sekali gus kembali ke kategori sederhana dan mengurangkan jumlah stesen tidak sihat kepada 26.

Paka, Terengganu turut mencatat penurunan 10 mata kepada 111.

Kawasan lain yang kekal dalam kategori tidak sihat termasuk Pengerang, Kota Tinggi, Port Dickson, Petaling Jaya, Batu Muda, Shah Alam, Banting, Seremban, Alor Gajah, Kemaman, Kluang dan Batu Pahat.

Sementara itu, Langkawi, Kedah kekal sebagai satu-satunya stesen dalam kategori baik dengan bacaan 50, iaitu had tertinggi kategori berkenaan.

Sebanyak 41 stesen lagi merekodkan bacaan sederhana termasuk Kuala Selangor (98) dan Tanjung Malim (96).

Skala IPU mengklasifikasikan bacaan 0 hingga 50 sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan lebih 300 sebagai berbahaya.

Orang ramai terutama kumpulan berisiko dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar serta memakai pelitup muka yang sesuai bagi mengurangkan risiko pendedahan kepada jerebu.

Must Watch Video

Advertisement