Skip to main content

Malaysia

Jerebu: Larkin cecah IPU 200, Pasir Gudang kekal sangat tidak sihat setakat 3 petang

Sebanyak 31 stesen pemantauan di seluruh negara merekodkan bacaan melebihi paras sihat, melibatkan satu stesen dalam kategori Sangat Tidak Sihat dan 30 stesen dalam kategori Tidak Sihat. -Gambar fail/Bernama
Sebanyak 31 stesen pemantauan di seluruh negara merekodkan bacaan melebihi paras sihat, melibatkan satu stesen dalam kategori Sangat Tidak Sihat dan 30 stesen dalam kategori Tidak Sihat. -Gambar fail/Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Stesen pemantauan kualiti udara di Larkin, Johor mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 200 setakat jam 3 petang ini.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan itu berada pada had atas kategori Tidak Sihat dan hanya satu mata di bawah kategori Sangat Tidak Sihat.

Pasir Gudang pula kekal merekodkan bacaan tertinggi di negara ini dengan IPU 204, sekali gus menjadi satu-satunya stesen dalam kategori Sangat Tidak Sihat meskipun menurun tiga mata berbanding sejam sebelumnya.

Sebanyak 31 stesen pemantauan di seluruh negara merekodkan bacaan melebihi paras sihat, melibatkan satu stesen dalam kategori Sangat Tidak Sihat dan 30 stesen dalam kategori Tidak Sihat.

Di Johor, Pengerang mencatatkan bacaan 181 manakala Bandaraya Melaka merekodkan bacaan 180.

Di Sabah, Sandakan mencatatkan peningkatan kepada 104 berbanding 101 sejam sebelumnya, manakala Tawau merekodkan bacaan 153. Kedua-dua stesen kekal dalam kategori Tidak Sihat.

Di Perak, stesen Pegoh, Ipoh dan Tasek, Ipoh masing-masing merekodkan bacaan 117 dan 120. Klang serta Nilai pula mencatatkan bacaan masing-masing 177 dan 182, manakala Johan Setia merekodkan bacaan 185.

Sehingga jam 3 petang, tiada stesen pemantauan di seluruh negara merekodkan kategori Baik. Sebanyak 37 stesen berada dalam kategori Sederhana dengan Indera Mahkota, Kuantan mencatatkan bacaan tertinggi dalam kategori itu pada paras 94.

Mengikut klasifikasi IPU, bacaan 0 hingga 50 dikategorikan sebagai Baik, 51 hingga 100 (Sederhana), 101 hingga 200 (Tidak Sihat), 201 hingga 300 (Sangat Tidak Sihat) dan melebihi 300 sebagai Berbahaya.

Must Watch Video

Advertisement