MALAYSIA

Jerebu: Lundu dan Tebedu berisiko tinggi alami kemerosotan kualiti udara

Bernama 25/07/2025 | 09:25 MYT
Setakat 8 pagi tadi, kualiti udara di Lundu berada dalam kategori tidak sihat dengan Indeks Pencemaran Udara pada 125 dan kategori sederhana pada bacaan IPU 69 di Tebedu. - Gambar fail
KUCHING: Dua daerah di selatan Sarawak iaitu Lundu dan Tebedu yang berdekatan sempadan Malaysia-Indonesia dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi mengalami kemerosotan kualiti udara berikutan jerebu rentas sempadan.

Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak berkata setakat 8 pagi tadi, kualiti udara di Lundu berada dalam kategori tidak sihat dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada 125 dan kategori sederhana pada bacaan IPU 69 di Tebedu.

"Kebanyakan titik panas yang dikesan di negara jiran adalah berdekatan dengan kawasan Lundu dan Tebedu," menurut NREB dalam kenyataan hari ini, yang memetik sumber berkaitan titik panas itu dari Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) berpangkalan di Singapura.

Kenyataan itu memaklumkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia turut menunjukkan trajektori asap dari negara jiran berpotensi memberi kesan jerebu impak sederhana di bahagian barat Sarawak bagi tempoh 72 jam bermula 21 Julai.

Sebagai langkah pencegahan, NREB menjalankan rondaan dan pemantauan fizikal menggunakan dron di kawasan berisiko tinggi seperti tanah pertanian, tanah gambut, semak samun dan tapak pelupusan sampah.

"Langkah ini terbukti berkesan apabila hanya 62 titik panas dikesan di Sarawak berbanding 448 di negara jiran dalam tempoh tujuh hari dari 18 hingga 24 Julai," menurut NREB.

Lembaga itu juga memaklumkan maklumat terkini berkaitan IPU akan disalurkan secara berkala kepada orang ramai, selain dikongsi bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak untuk sebarang tindakan lanjut termasuk penutupan sekolah.

Dalam kenyataan sama, ia turut mengingatkan orang ramai tidak melakukan pembakaran terbuka khususnya semasa musim panas dan meminta agar sebarang kes dilaporkan kepada pejabat NREB berhampiran atau menerusi talian 082-4474 88 / 082-3195 00.

-- BERNAMA

#jerebu #Lundu #Tebedu #MetMalaysia